Saturday, September 6, 2014

Khatib disiasat di bawah Akta Hasutan

PDRM

GEORGETOWN - Polis akan memanggil seorang khatib yang didakwa menyampaikan khutbah Jumaat dengan mengkritik tindakan polis serta kerajaan menahan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) pada 31 Ogos lalu.Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan mengenainya daripada seorang lelaki petang semalam.Beliau berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan polis akan memanggilnya untuk diambil keterangan."Saya mengesahkan menerima laporan dan membuka kertas siasatan mengikut  Sekyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.Sinar Harian hari ini melaporkan, seorang ahli Pas kawasan Tanjung, Ariff Ibrahim membuat laporan polis berhubung tindakan seorang khatib yang menyampaikan khutbah berbaur hasutan di sebuah masjid di Jalan Terengganu, petang semalam.[ARTIKEL BERKAITAN:Khatib kritik polis dalam khutbah]









 

Menteri Korea Selatan terima ancaman bunuh

Han Min-koo
Han Min-koo
SEOUL - KOREA SELATAN. Polis dan pegawai tentera Korea Selatan telah melancarkan siasatan bersama berhubung surat ancaman bunuh yang diterima Menteri Pertahanan negara itu.

Menurut jurucakap Kementerian, surat beserta pisau itu ditemui seorang lelaki penghantar surat minggu lalu ketika dia cuba membungkus semula bungkusan koyak yang dialamatkan kepada Han Min-Koo.

"Berdasarkan siasatan kami, kami sedang cuba untuk menentukan sama ada Korea Utara terlibat atau tidak dalam kes ini," katanya dipetik AFP.

Susulan ancaman itu, kementerian berikrar akan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana provokasi oleh Korea Utara, yang sebelum ini telah melancarkan satu siri peluru berpandu dan ujian roket sejak beberapa bulan lalu.

Rundingan gencatan senjata Ukraine bermula


6 September 2014

MINSK - BELARUS. Rundingan gencatan senjata antara kerajaan Ukraine, Russia dan kumpulan militan pro-Rusia dalam usaha untuk mencapai penyelesaian politik telah bermula semalam di Belarus.

Pegawai di Belarus mengesahkan rundingan tersebut dan ia turut disertai wakil daripada Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah.

Bekas Presiden Ukraine, Leonid Kuchma yang mewakili negara itu berkata, pihaknya datang untuk keamanan dan bersedia menandatangani perjanjian gencatan senjata.

"Kami akan membincangkan tentang gencatan senjata dan apa sahaja diperlukan untuk menjayakannya," katanya dipetik RTE News.

Sementara itu, Rusia diwakili Duta Moscow ke Ukraine, Mikhail Zurabov, manakala kumpulan militan diwakili pemimpin daripada Republik Rakyat Donetsk serta Republik Rakyat Lugansk termasuk Perdana Menteri Alexander Zakharchenko.

Mat Sabu tidak tahu


Timbalan Presidennya Mohamed Sabu berkata, beliau sendiri tidak mengetahui nama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali tidak disenaraikan sebagai calon.
Menurutnya, perkara itu tidak diketahuinya memandangkan keputusan untuk mencalonkan seorang ADUN dari parti itu tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
“Saya ingin menyatakan bahawa nama Dr Wan Azizah dan Azmin tidak ada dalam senarai pencalonan PAS adalah tidak dalam pengetahuan saya.
“Kami Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak tahu-menahu akan nama baru ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai Badan Eksekutif yang mengendalikan urusan harian pentadbiran dan strategi parti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata, ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 17 Ogos lalu bersetuju dan sebulat suara mencalonkan Dr Wan Azizah dan Mohamed Azmin.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 25 Ogos lalu bersetuju dengan nama yang diputuskan pada mesyuarat 17 Ogos lalu dan menyerah kepada kuasa budi bicara Sultan Selangor untuk membuat pilihan calon Menteri Besar Selangor,” katanya.
Mustafa sebelum ini mengesahkan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghantar tiga nama dalam senarai berasingan untuk jawatan menteri besar.
Beliau berkata, nama itu dihantar bagi menghormati titah Sultan yang menitahkan agar tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) mengemukakan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan baginda bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sebelum ini, Abdul Khalid menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan bagi menyelesaikan kemelut pentadbiran negeri ini namun Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar hasrat itu ditangguhkan sehingga menteri besar yang baru dilantik.
Pada 3 September lalu, ketiga-tiga parti dalam PR sudah menghantar senarai calon untuk dipersembahkan kepada baginda yang mana PKR dan DAP masih terus berkeras dan tetap mencadangkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/06

Anjing kemaruk stoking


Anjing baka Great Dane berusia tiga tahun itu dikejarkan ke sebuah hospital haiwan di Portland, Oregon selepas pemiliknya bimbang apabila haiwan peliharaannya itu mula muntah dan murung.
Doktor menjalankan ujian sinar-X pada haiwan itu dan mendapati sejumlah besar ‘bahan asing’ di dalam perutnya.
Mereka mengambil keputusan menjalankan pembedahan.
Dua jam kemudian, doktor mengeluarkan 43 stoking daripada perutnya.
Ia sekali gus menyelesaikan misteri kehilangan stoking keluarga itu.
Jurucakap hospital, Shawna Harch berkata, mujur haiwan itu tidak mati.
Menurutnya, ia antara kes paling ganjil dalam sejarah hospital berkenaan.
Sebelum ini, doktor di hospital itu pernah membedah seekor anjing untuk mengeluarkan glu yang ditelannya.
Foto
43 stoking yang dikeluarkan daripada perut anjing berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/06

NATO hantar tentera


Dalam usaha membalas tindakan agresif Russia, pemimpin NATO semalam meluluskan perancangan untuk menghantar ribuan anggota tentera ke timur Eropah sebagai langkah berjaga-jaga jika salah satu negara sekutunya di rantau itu diserang.

Setiausaha Agung NATO Anders Fogh Rasmussen berkata, unit baru itu bertujuan menghantar mesej jelas kepada sesiapa yang merancang melakukan serangan, terutama Russia.

“Jika anda cuba menyerang satu sekutu kami, anda perlu berdepan kami semua,” katanya pada akhir sidang kemuncak NATO.

Rasmussen berkata, kehadiran tentera itu akan memastikan NATO terus berada di timur Eropah dan akan dilakukan secara bergilir-gilir.

Buat masa ini, belum ada keputusan akhir mengenai lokasi pangkalan tenaga tentera itu, namun Rasmussen berkata Poland, Romania dan negara Baltik masing-masing bersetuju menyediakan kemudahan diperlukan.

Selain itu, Rasmussen turut menyatakan pendirian NATO ‘bersedia membantu’ Iraq menentang kumpulan militan, namun belum menerima sebarang permohonan bantuan daripada kerajaan berkenaan.

Sidang kemuncak itu diadakan serentak dengan permulaan rundingan damai membabitkan Ukraine, Russia dan penentang pemisah pro-Russia yang bermula semalam di Minsk, Belarus.



Perbincangan diharapkan mencapai gencatan senjata bagi mengakhiri pertempuran sejak beberapa bulan lalu antara pihak berkuasa Ukraine dan pemisah pro-Russia.

Walaupun Presiden Ukraine Petro Poroshenko kelihatan agak optimistik dengan perbincangan diadakan, pemimpin Barat tetap curiga dengan motif Russia.

Amerika Syarikat (AS) dan Eropah masing-masing memberi amaran mengenai kesediaan melakukan lebih banyak sekatan ekonomi terhadap Russia, malah Rumah Putih memberi gambaran ia mungkin dilakukan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Perdana Menteri Britain David Cameron berkata, negaranya bersedia menyumbang 3,500 anggota tentera untuk pasukan berkenaan dengan beribu pejabat di Poland manakala stok peralatan diperlukan dihantar segera.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/06

PM lancar laman web NajibRazak.com


ENTRI terbaru Najib dalam laman Twitternya mengenai pelancaran NajibRazak.com.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan laman web peribadi baharunya, NajibRazak.com menggantikan laman web 1Malaysia.com yang sebelum ini digunakan sebagai blog rasmi dan peribadinya.
"Alhamdulillah, laman web 1Malaysia berubah wajah. Saya juga lancarkan laman web peribadi baharu," kata Perdana Menteri dalam tweet terbarunya hari ini.
Pengunjung yang melawati kedua-dua laman web itu akan disambut dengan mesej "I am pleased to announce that my personal website, www1Malaysia.com has moved to NajibRazak.com. The existing 1Malaysia website will continue as a recognised website with contributions from all Malaysians.
"You can choose to either go to www1Malaysia.com or NajibRazak.com with one simple click," kata Najib.
Laman web NajibRazak.com mengandungi entri-entri yang pernah beliau paparkan semenjak 2008 dari laman web 1Malaysia.com selain disertakan gambar, video dan aktiviti sepanjang penglibatan Najib bergelar Perdana Menteri dan sebelum itu Timbalan Perdana Menteri.
Laman web 1Malaysia.com kini berfungsi sebagai platform untuk menerangkan lebih lanjut tentang konsep 1Malaysia dan dasar-dasar kerajaan. - BERNAMA

Pasukan keselamatan haram berpotensi jadi ejen menentang kerajaan - Tun Haniff



BEKAS Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar. - Foto Fail NSTP/ S Sugumaran
KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan yang tidak berdaftar atau haram yang menggunakan kuasa ala 'polis' dilihat berpotensi menjadi ejen untuk menentang kerajaan pusat, kata bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.
Beliau berkata, penyalahgunaan kuasa serta tindakan agresif pasukan itu juga boleh menggugat ketenteraman awam, dan akhirnya mungkin membawa kepada berulangnya tragedi hitam 13 Mei 1969.
"Saya berpendapat dengan adanya pasukan sedemikian mungkin ia boleh dilihat sebagai satu ketumbukan yang sedang diaturkan untuk menentang kerajaan yang dipilih oleh rakyat mengikut lunas-lunas perlembagaan," katanya kepada Bernama.
Ahad lepas polis menahan 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh kerana pasukan itu tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Hasil siasatan polis mendapati empat yang ditahan itu positif dadah, 11 didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah antaranya ugutan, samun, curi, membunuh tanpa niat, dadah dan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967 dan seorang merupakan anggota kongsi gelap dan pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat.
Haniff berkata, tindakan agresif ala gangster yang didakwa dilakukan anggota pasukan keselamatan haram itu harus dibendung oleh pihak berkuasa keselamatan bagi memastikan hak keselamatan orang awam lebih terjamin.
"Mereka (pasukan keselamatan haram) dikatakan mempunyai kecekapan dalam latihan senjata seperti cota dan kuasa seperti 'polis' dan jika mereka bertindak mengikut perasaan, pasti menjejaskan keamanan.
"Penyalahgunaan kuasa juga boleh berlaku dan rakyat akan berasa tidak selamat," katanya.
Haniff berkata lebih membimbangkan pengambilan anggota pasukan itu tidak mempunyai mekanisme tapisan bagi menentukan setiap anggotanya bersih daripada penglibatan jenayah.
Ini boleh menyebabkan penjenayah menyelinap masuk dan bersembunyi dalam pasukan keselamatan itu, katanya.
Sementara itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata PPS perlu mendaftar dengan ROS sebelum melaksanakan apa-apa aktiviti yang melibatkan soal keselamatan negara.
"Mereka tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya kerana soal keselamatan dan keamanan negara terletak di bawah bidang kuasa PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan kerajaan pusat.
"PPS juga tidak sepatutnya mencabar PDRM dalam pertikai kuasa polis, mereka perlu berhemah dengan PDRM dan bukannya mencabar PDRM secara kasar," katanya ketika dihubungi Bernama. - BERNAMA

Krisis Selangor: Istana sahkan PAS hantar tiga nama calon MB


SHAH ALAM: Istana Selangor hari ini mengesahkan PAS menghantar tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.
Bagaimanapun sumber dari Istana, ketika dihubungi Bernama, tidak mendedahkan nama calon-calon berkenaan.
Perkara itu turut diakui sumber terdekat kerajaan negeri bahawa PAS telah menghantar tiga nama kepada pihak Istana.
"Urusan surat-menyurat mengenai nama calon itu juga dikendalikan secara peribadi oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah," kata sumber itu.
Akhbar hari ini melaporkan PAS dikatakan menghantar tiga nama anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada parti itu sebagai calon untuk jawatan tertinggi pentadbiran Selangor.
Tiga calon yang dilaporkan ialah Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi. Bagaimanapun ketiga-tiga mereka mendakwa tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.
Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.
PKR dan DAP bagaimanapun sehingga kini kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar yang baharu.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata pihaknya tidak mengetahui sama ada nama Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak terkandung dalam senarai nama menteri besar yang telah dihantar itu.
"Kami, ahli jawatankuasa PAS Pusat tidak tahu menahu akan nama baharu ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 17 Ogos lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri Ijok daripada PKR, Dr Idris Ahmad enggan mengulas ketika ditanya sama ada namanya turut disenaraikan oleh PAS sebagai calon menteri besar yang baharu. - BERNAMA

Ukraine, pemisah tandatangan gencatan senjata

MOSCOW: Kerajaan Ukraine dan pemimpin pemisah hari ini menandatangani perjanjian gencatan senjata selepas rundingan di Belarus sekali gus memberikan harapan untuk menamatkan pertempuran hampir lima bulan yang tercetus di Ukraine.
Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dalam kenyataan berkata, beliau sudah mengarahkan jeneral tenteranya untuk menamatkan serangan bermula jam 6 petang waktu tempatan.
Katanya, keputusan itu dibuat "hasil panggilan telefon Presiden Russia, Vladimir Putin kepada pemimpin kumpulan bersenjata di Donbas supaya menghentikan pertempuran".
Persetujuan terhadap protokol gencatan senjata itu dimeterai di Belarus.
Donbas adalah istilah bagi merujuk wilayah di timur Ukraine.
Bercakap kepada pemberita selepas persidangan NATO di Wales, Poroshenko berkata, perjanjian gencatan senjata itu adalah berdasarkan pelan perdamaiannya dan persetujuan yang dicapai menerusi panggilan telefon minggu ini dengan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Agensi

Polis buka kertas siasatan kes kematian Beng Hock

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata dalam satu kenyataan hari ini satu pasukan khas yang diketuai Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh akan memulakan siasatan dalam tempoh terdekat termasuk memanggil semula semua saksi dan memeriksa lokasi kejadian.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini menukar keputusan terbuka dalam kes kematian setiausaha politik daripada DAP Teoh Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, membuat keputusan itu sebulat suara dan memerintahkan supaya siasatan lebih terperinci dijalankan berkaitan kematian itu, tanpa mengecualikan pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketiga-tiga anggota panel itu menyediakan penghakiman bertulis masing-masing. Dua lagi hakim ialah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.
Panel itu memerintahkan supaya diketepikan keputusan terbuka yang dibuat Mahkamah Koroner dan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan semakan semula.
Mah, yang membacakan penghakiman beliau terlebih dahulu, memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan iaitu ketika berada dalam tahanan pegawai SPRM.
Beliau berkata, Teoh dipanggil ke pejabat SPRM sebagai seorang saksi dan tertakluk kepada soal siasat sehingga awal pagi, yang jelas menunjukkan bahawa hak beliau telahpun dicabuli.
Mengenai kemungkinan Teoh membunuh diri, Mah menolak kemungkinan itu, dengan berkata tulisan tangan pada nota bunuh diri yang didakwa ditulis Teoh tidak boleh disahkan pakar sebagai tulisannya.
Tambahan pula, katanya, perilaku Teoh sebelum insiden itu jelas menunjukkan bahawa beliau berkeadaan waras dan sedang sibuk membuat persiapan untuk hari perkahwinannya.
Mah turut merujuk dengan terperinci kepada pandangan dua pakar ketika menolak bunuh diri sebagai kemungkinan penyebab kematian seperti yang dicadangkan oleh peguam yang mewakili SPRM semasa inkues.

Mahkamah Rayuan batal keputusan terbuka inkues Beng Hock

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menukar keputusan terbuka dalam kes kematian setiausaha politik daripada DAP Teoh Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

Teoh Beng Hock
Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, membuat keputusan itu sebulat suara dan memerintahkan supaya siasatan lebih terperinci dijalankan berkaitan kematian itu, tanpa mengecualikan pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketiga-tiga anggota panel itu menyediakan penghakiman bertulis masing-masing. Dua lagi hakim ialah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.
Panel itu memerintahkan supaya diketepikan keputusan terbuka yang dibuat Mahkamah Koroner dan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan semakan semula.
Mah, yang membacakan penghakiman beliau terlebih dahulu, memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan iaitu ketika berada dalam tahanan pegawai SPRM.
Beliau berkata Teoh dipanggil ke pejabat SPRM sebagai seorang saksi dan tertakluk kepada soal siasat sehingga awal pagi, yang jelas menunjukkan bahawa hak beliau telahpun dicabuli.
Mengenai kemungkinan Teoh membunuh diri, Mah menolak kemungkinan itu, dengan berkata tulisan tangan pada nota bunuh diri yang didakwa ditulis Teoh tidak boleh disahkan pakar sebagai tulisannya.
Tambahan pula, katanya, perilaku Teoh sebelum insiden itu jelas menunjukkan bahawa beliau berkeadaan waras dan sedang sibuk membuat persiapan untuk hari perkahwinannya.
Mah turut merujuk dengan terperinci kepada pandangan dua pakar ketika menolak bunuh diri sebagai kemungkinan penyebab kematian seperti yang dicadangkan oleh peguam yang mewakili SPRM semasa inkues.
Beliau merujuk kepada pandangan pakar Dr Pornthip Rojanasunand dan Dr Peter Venezis dalam nota inkues bahawa Teoh mungkin dicekik oleh seseorang berdasarkan kecederaan pada lehernya.
"Ini mungkin mengakibatkan beliau tidak sedarkan diri, dan kedua-dua mereka (pakar) percaya beliau masih hidup semasa terjatuh dari tingkat 14 bangunan itu dan saya bersetuju dengan mereka," kata Mah.
Beliau turut mempersoalkan perilaku pegawai SPRM yang menyoal siasat Teoh dan menggesa polis menjalankan siasatan lanjut berkaitan orang sebenar yang memudaratkan mangsa selain menggesa polis supaya tidak mengecualikan para pegawai SPRM yang kali terakhir dilihat bersama Teoh.
Teoh ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat SPRM, pada pagi 16 Julai 2009. Beliau berusia 30 tahun.
Selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka, abang Teoh, Meng Kee memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi supaya keputusan itu disemak semula.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di Shah Alam menolak permohonan semakan semula oleh Meng Kee pada 1 Disember 2011.
Meng Kee memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 2 Februari tahun lepas untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Sementara itu, Hakim Hamid Sultan menarik perhatian terhadap kelewatan pegawai SPRM melaporkan kematian Teoh dan kegagalan mereka melindungi tempat jenayah itu berlaku sebelum ketibaan polis.
"Mereka sepatutnya ingat bahawa Teoh hanyalah bakal saksi dalam kes ini, bagaimanapun beliau disoal siasat dalam masa yang begitu panjang,," katanya.
Beliau menegaskan kecederaan pada leher Teoh berlaku di premis SPRM dan terdapat bukti mencukupi yang menjurus ke arah pegawai SPRM.
Hamid Sultan berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendesak Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap pesalah.
"Saya akan membenarkan rayuan ini dan mengarahkan ketua polis negara dan Jabatan Peguam Negara melaksanakan perkara perlu untuk memulakan siasatan mengikut CPC (Kanun Tatacara Jenayah) dan membuat pertuduhan dengan sewajarnya," tegas Hamid Sultan.
Mohamad Ariff pula berpendapat terdapat keterangan mengikut keadaan yang mencukupi bahawa kematian Teoh disebabkan beliau jatuh dan perkara ini dipercepatkan oleh orang yang tidak dikenali.
Beliau menggesa Jabatan Peguam Negara supaya meneruskan siasatan terhadap insiden itu, termasuk nota bunuh diri yang didakwa ditulis Teoh.
Selepas keputusan itu, adik perempuan Teoh, Lee Lan berkata keputusan mahkamah itu jelas menunjukkan bahawa abang beliau dibunuh, dan menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
"Sungguhpun sudah lima tahun berlalu selepas kematiannya (Teoh), penantian untuk mendengar keputusan ini sangat berbaloi," kata Lee Lan dengan linangan air mata, dan hadir di mahkamah bersama ibu bapa serta anggota keluarganya yang lain.
Meng Kee diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala Jabatan Peguam Negara pula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas. - BERNAMA

'Titik pejal' dijumpai dalam pencarian MH370 mungkin bahan geologikal

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia berkata, mereka menemui 'titik pejal' di dasar laut dalam usaha pencarian sonar pesawat MH370 tetapi sebahagian besarnya mungkin bahan geologikal.
Sekumpulan pakar sedang membuat kajian sonar di kawasan yang belum pernah dikaji sebelum ini di bahagian selatan Lautan Hindi, sebagai persediaan untuk melakukan kajian di dasar laut bagi mencari pesawat terbabit yang hilang ketika membawa 298 penumpang dan anak kapal.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata penggunaan alat sonar itu boleh menyatakan sejauh mana dalamnya air di kawasan berkenaan serta komposisi dasar laut di kawasan pencarian.
"Sonar itu boleh mengesan tahap kekerasan, walaupun ia tidak boleh membezakan antara kekerasan logam pesawat dan batu di dasar laut," kata jurucakap ATSB.
"Kebanyakan titik keras yang dijumpai besar kemungkinan adalah bahan geologikal dan bukannya objek buatan manusia," katanya.
Penerbangan MH370 hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.
Pemetaan dasar laut yang dilakukan sebelum ini mendapati bahawa kesan yang ditemui itu adalah kesan gunung berapi tidak dikenali di dasar laut.
ATSB berkata dengan mengesan objek keras, pihak pakar
akan memaklumkan sama ada siasatan lebih mendalam perlu dilakukan ketika usaha pencarian itu dibuat di kawasan perairan dalam. - AFP

Air Zam-Zam Miliki Mukjizat - Saintis Jepun


Diterbitkan: Sabtu, 6 September 2014 1:26 PM
Molekul air zam-zam.

KAJIAN seorang saintis Jepun mendapati bahawa air zam-zam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain.

Dr Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun menjalankan kajian ke atas perubahan bentuk molekul air yang didedahkan kepada pengaruh-pengaruh positif dan negatif.

Beliau mendapati apabila air didedahkan kepada kata-kata, tulisan dan pesanan yang berbentuk positif, air-air tersebut membentuk molekul yang berbentuk kristal indah.

Sebagai contoh, dalam salah satu eksperimen beliau, air didedahkan dengan bacaan doa agama Islam dan molekul air yang terhasil membentuk kristal indah berbentuk segi enam dengan lima cabang daun yang berkilauan indah.

Beliau turut mendapati molekul air yang terhasil menerusi eksperimen ke atas air zam-zam adalah bercabang-cabang dan berkilauan.

Emoto mendedahkan hasil penemuannya itu dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac 2005 di New York.
Dr Masaru Emoto.
Dalam eksperimen tersebut turut mendedahkan pengaruh unsur-unsur negatif terhadap air.
Menurut Emoto, apabila air didedahkan kepada perkataan syaitan dan muzik heavy metal, kristal molekul air yang terhasil tidak mempunyai bentuk dan kelihatan hancur serta buruk.
"Ternyata, air boleh 'mendengar, membaca dan memahami' kata dan doa," katanya.
Pada Persidangan Air Sedunia di salah sebuah universiti di negara ini beberapa tahun lalu turut membuktikan segala fakta mengenai air.
Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia diambil dan diperiksa akan 'kehebatannya'.
Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang diuji itu.

Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk air zam-zam diuji dan dikenal pasti.

Uniknya, air zam-zam membentuk molekul yang begitu kukuh, strukturnya tidak berubah disebabkan apa jua tekanan.

Malah, kehebatan air zam-zam didapati mampu merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain.
 
Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah.
Telaga air zam-zam.

Ia mengandungi kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan penyembuhan.
Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.
Lebih menakjubkan, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam dan ia sentiasa bebas dari pencemaran kuman.
Justeru, dalam perubatan Islam, penggunaan air penawar dalam rawatan adalah satu aspek penting untuk diamalkan pesakit. 
Air penawar biasanya dibacakan Surah al-Fatihah atau ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan penyakit dialami pesakit. 
Selepas pesakit membaca ayat al-Quran, mereka dikehendaki membaca doa memohon kepada Allah untuk penyembuhan dan doa ini turut dibacakan ke air penawar.
Teori Emoto mengenai perubahan kristal molekul air jelas menerangkan kemujaraban air penawar yang didedahkan kepada bacaan ayat suci al-Quran. 
Pembacaan ayat suci al-Quran ke atas air penawar menyebabkan kristal molekul air penawar berubah kepada bentuk kristal indah dan memberi kesan positif kepada peminumnya.
mstar