Wednesday, March 24, 2010

18 perwakilan Pulai sokong Soi Lek



JOHOR BAHRU 23 Mac - Sebanyak 18 perwakilan MCA Bahagian Pulai yakin bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan memenangi jawatan Presiden MCA pada pemilihan baru parti Ahad ini.
Pengerusi MCA Bahagian Pulai, Low Teh Hian yang digantung sejak lapan bulan lalu bersama 18 perwakilan bahagian itu secara terbuka menyatakan sokongan dan akan memberi undi kepada Soi Lek pada pemilihan itu.
"Bagi kami, Soi Lek paling berwibawa dalam menyelesaikan masalah parti dan beliau diterima baik oleh ahli-ahli di peringkat akar umbi untuk memperkukuhkan lagi kedudukan MCA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, Teh Hian bersama 18 perwakilan berkenaan mengadakan sidang akhbar bagi menyatakan sokongan kepada Soi Lek yang juga bekas Pengerusi MCA Johor.
Teh Hian berkata, Soi Lek mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki seperti selalu turun padang menyelesaikan masalah ahli akar umbi dan isu tempatan selain mentadbir dengan cemerlang di peringkat parti dan kerajaan.
"Masalah moral yang pernah dilalui beliau tidak akan menjejaskan peluangnya untuk menang kerana para perwakilan memahami bahawa Soi Lek sebelum ini sudah menunjukkan beliau bertanggungjawab apabila meletak jawatan.
"Lagipun, orang ramai sudah tidak mahu lagi mengingati perkara-perkara seperti itu," katanya.
Dalam pada itu, Teh Hian berharap pemimpin MCA mencontohi bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak lagi mahu bertanding dalam jawatan utama parti jika sudah bersara atau melepaskan jawatan.

No comments:

Post a Comment