Tuesday, March 30, 2010

Kementerian Kesihatan diminta perjelas syarikat RM2



Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  menjelaskan kaedah perlantikan syarikat 'RM2'  sama ada menggunakan kaedah rundingan terus atau sebaliknya.
Ini ekoran cadangan kementerian mahu menswastakan semua makmal patologi di hospital-hospital awam tempatan pada Syarikat Akar Mulia Sendirian Berhad dipersoal.

Berdasarkan makluman rasmi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Salahuddin mendakwa syarikat tersebut didaftarkan dengan RM2 secara segera supaya boleh mendapatkan tender penswastaan daripada KKM.

Bercakap di lobi Parlimen petang tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian meminta kementerian menafikan dakwaan-dakwaannya itu.

Ini kerana, menurut beliau, syarikat tersebut telahpun menyertai satu mesyuarat rasmi di kementerian terbabit sendiri pada 17 Julai tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, kementerian sekali lagi mengadakan mesyuarat eksklusif rasmi bersama-sama syarikat tersebut pada 25 Mac lalu supaya langkah penswastaan itu direalisasikan.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa wujudnya amalan kronisme yang membabitkan individu tertentu dalam kementerian dan syarikat 'RM2' tersebut.
Selain itu, beliau turut mencabar pemilik syarikat tersebut mendedahkan profil syarikat serta rekod kemampuan syarikat dalam mengendalikan prasarana kesihatan, termasuk pengalaman menguruskan makmal patalogi tersebut.

Sekiranya kerajaan meneruskan niat menswastakan makmal-makmal patologi tersebut kepada syarikat misteri itu, beliau menganggap penswastaan tersebut sebagai malapetaka bagi kesihatan rakyat dan keselamatan tanah air.

No comments:

Post a Comment