Thursday, April 15, 2010

Keselamatan Pornthip terjamin



KUALA LUMPUR 14 April - Kerajaan hari ini sekali lagi mengulangi jaminan keselamatan kepada pakar patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bagi membolehkannya menghadiri inkues Teoh Beng Hock, 20 April ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan bersedia mengambil langkah itu dengan syarat Pornthip mendedahkan pihak-pihak yang telah memberi tekanan dan mengancam keselamatannya.
"Pada waktu sekarang, beliau hanya memberikan kenyataan secara umum dan ini menyukarkan pihak kerajaan memberikan jaminan keselamatan kepadanya.
"Ini kerana kita tidak tahu siapakah pihak-pihak yang dikatakannya telah mengancamnya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pornthip semalam mengenai kesanggupannya memberi keterangan pada inkues itu jika ada jaminan keselamatan daripada kerajaan Malaysia.
Menurut Pornthip, beliau sanggup datang jika ada jaminan rasmi daripada kerajaan Malaysia dan Pejabat Peguam Negara berhubung keselamatan dan juga kebebasannya dalam melaksanakan tugas profesional sebagai seorang saksi bebas.
Ahad lalu, Pornthip mendedahkan beliau terpaksa menarik diri daripada menghadiri perbicaraan inkues itu kerana mendakwa terdapat 'gangguan politik' daripada kerajaan Malaysia.
Pornthip dijadual memberi keterangan mengenai pengamatannya terhadap bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat mendiang Beng Hock.
Menurut Hishammuddin, jika Pornthip sanggup mengotakan janjinya untuk memberikan keterangan pada inkues itu, ia adalah satu tindakan yang bagus.
"Saya akan pastikan polis mengambil apa sahaja langkah yang perlu bagi memastikan beliau dapat hadir ke mahkamah dengan selamat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment