Saturday, April 3, 2010

Koo Ham terus pertikai polis



IPOH 2 April - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan bahawa beliau tidak gentar disiasat polis berhubung kenyataannya pada 30 Mac lalu yang menggambarkan seolah-olah polis akan menembak sesiapa yang tidak disukai secara sesuka hati.
Menurutnya, tindakan polis membuka siasatan ke atasnya jelas menunjukkan bahawa polis secara aktif terlibat dalam politik untuk menyebelahi kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang didakwa dipilih secara tidak demokratik.
''Polis kini telah terpesong daripada tugas utama mereka dan terlibat membantu BN mencari kesalahan pemimpin pembangkang.
''Saya tidak takut dengan gertakan kerana saya ada tanggungjawab yang perlu saya laksanakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Koo Ham kini disiasat polis di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan bahawa polis mungkin menembak sesiapa yang tidak disukai secara sesuka hati pada satu sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 30 Selasa lalu.
Menurut Koo Ham, sekiranya polis benar-benar mahu menegakkan undang-undang, mereka perlu membawa anggota polis yang menceroboh sidang DUN dan menarik V. Sivakumar dari kerusi Speaker pada 7 Mei 2009 ke mahkamah.
''Saya mencabar Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah untuk mendedahkan nama-nama semua polis yang masuk ke dalam DUN Perak pada hari itu.
''Oleh kerana polis tidak mendedahkan nama-nama tersebut, Sivakumar tidak dapat menyaman mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment