Tuesday, April 27, 2010

polis salah guna kuasa?


Kakak, rakan yakin remaja ditembak polis bukan penjenayah



SHAH ALAM, 26 April — Kakak kepada remaja lelaki yang ditembak mati oleh anggota peronda polis dalam kejadian awal pagi ini, bingung mengapa adiknya ditembak malah yakin mangsa bukan penjenayah seperti yang didakwa.

Norazura Amzah, 39, yang ditemui di perkarangan masjid di kawasan perumahan Seksyen 11 di sini berkata beliau hanya mengetahui adiknya Aminulrashid, 15,(gambar atas) yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mati ditembak ketika ingin membuat laporan kehilangan adiknya yang tidak pulang sejak malam tadi.

“Ibu telefon pagi tadi memaklumkan adik tidak pulang ketika keluar dengan sebuah kereta Proton Iswara milik seorang lagi kakaknya.

“Saya mula tidak sedap hati dan terus bergegas ke rumah ibu kemudian kami sekeluarga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini dan dimaklumkan terdapat kejadian tembak membabitkan seorang remaja berdekatan rumah ibu di Seksyen 11,” katanya di sini hari ini.

Kejadian tembak itu juga dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi tadi hanya kira-kira 100 meter dari rumah mangsa.

Norazura yang beberapa kali terhenti bercakap kerana menahan sebak berkata mereka bergegas ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini namun tidak dibenarkan masuk.

Beliau berkata seorang daripada pegawai bertugas di bilik mayat itu kemudiannya mengesahkan mayat remaja berkenaan menyamai paras rupa adiknya yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini.

“Maaf, saya sangat kecewa dan sedih, apalah salah seorang remaja seperti adik saya, jangan membuat tuduhan melulu dan cuba fikirkan apa rasanya andai dia berlaku kepada kita,” katanya.

Tinjauan Bernama di perkarangan masjid di Seksyen 11 di sini mendapati lebih 200 rakan Allahyarham dan saudara mara berkumpul untuk menunaikan solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin, timbalannya Supt M. Chandara serta Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

Van jenazah polis turut disediakan bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan yang diiringi unit kawalan motosikal polis.

Jenazah Aminulrashid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini selepas solat Maghrib tadi.

Sementara itu, Khalid berkata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberikan jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.

“Allahyarham seorang remaja yang dikenali di kawasan ini dan kemungkinan melakukan jenayah adalah tidak mungkin sama sekali,” katanya.

Seorang pemilik kafe siber, yang dikenali sebagai Amin berkata Allahyarham ialah seorang remaja yang mudah didekati dan penyayang serta sering mengunjungi premisnya.

“Kali terakhir saya menemuinya petang semalam ketika dia melayari Internet di sini dan bergurau dengan anak-anak saya, kemudian selepas bermain bola di padang berhampiran dia sempat melambaikan tangan ke arah saya dan isteri,” katanya sebak.

Pada kejadian itu, Aminulrashid mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri ketika terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan seksyen 11 di sini. — Bernama


Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2010/04/kakak-rakan-yakin-remaja-ditembak-polis.html#ixzz0mH6qPOTh

No comments:

Post a Comment