Thursday, April 22, 2010

Tarik balik pulak dah


Kompaun RM1,000 ditarik balik

KUALA LUMPUR 21 April - Tidak jadi kompaun maksimum RM1,000 kepada pesalah lalu lintas.
Ini berikutan penarikan balik Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 bagi menggugurkan tiga daripada 51 fasal termasuk Fasal 46 yang menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 kepada RM1,000.
Rang undang-undang tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri di Dewan Rakyat, Isnin lalu
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar) memberitahu, penarikan balik itu dilakukan selepas mendapat maklum balas Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) yang tidak bersetuju dengan beberapa pindaan berkenaan.
Katanya, selain fasal berkaitan kompaun itu, dua lagi yang akan digugurkan ialah Fasal 8 yang melarang mana-mana pihak kecuali Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat, mengeluar, mengedar, menjual dan memasang plat nombor pendaftaran dan Fasal 22 menaikkan had umur kelayakan memohon lesen memandu daripada 16 ke 17 tahun.
Jelas beliau, rang undang-undang itu akan dikaji semula dan akan dibentangkan sebagai bacaan kali pertama apabila persidangan Dewan Rakyat bermula Jun depan.
"Selepas berbincang dengan pihak Dewan dan mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Whip, Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka kita buat keputusan menarik balik pindaan ini. Ia akan dibawa balik dalam persidangan akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Isnin lalu, peruntukan itu adalah antara 51 Fasal pindaan yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya berharap agar kerajaan menimbang semula dan memperhalusi akta berkenaan demi kepentingan rakyat.
"Kita telah mengadakan perbincangan selama dua hari dengan pihak JPJ, Kementerian Pengangkutan dan agensi lain dan mendapati akta berkenaan yang dibentang Isnin lalu tidak mesra rakyat," katanya.
Beliau turut mencadangkan JPJ mengadakan perundingan awam yang bertujuan mendengar suara hati dan cadangan rakyat sebelum akta itu dibentangkan semula di Parlimen.
Dalam pada itu, pemimpin pembangkang, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) turut menggesa kerajaan meneliti semula akta berkenaan dan menubuhkan satu jawatankuasa yang melibatkan orang awam, pihak berkuasa dan pakar perundangan.

No comments:

Post a Comment