Tuesday, May 18, 2010

Awas! 4 penyamun ada di Sik, Kedah

Tembak perut


Oleh Mohamad Hussin

2010/05/18
ALOR SETAR: Sekumpulan penyamun yang berpura-pura menjual getah beku bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah pekerja kedai getah menyebabkan mangsa cedera parah di perut dalam satu kejadian samun membabitkan kerugian RM10,000 di Kampung Sungai Senam, Sik, semalam.
.PARAH...Md Zahir dirawat  di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas terkena tembakan di perut.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Md Zahir Md Ariff, 34, yang berasal dari Kampung Lubuk Tualang, Sik, ditembak di perutnya dari jarak dekat oleh seorang daripada empat suspek yang sebelum itu berpura-pura membawa 17 kilogram (kg) getah beku untuk dijual.

Difahamkan, selepas menimbang getah dibawa suspek, mangsa masuk ke dalam kedainya mengambil wang bagi membuat pembayaran, sebelum disamun dan ditembak dengan pistol buatan sendiri.

Suspek melepaskan dua das tembakan ke arah rakan mangsa, namun tersasar.

Mangsa sempat bergelut dengan suspek walaupun terkena tembakan sebelum rebah berlumuran darah akibat cedera parah di perut.
Dia dihantar ke Hospi untuk menerima rawatan.

Sebelum itu, keempat-empat penyamun berusia antara 20 hingga 30-an itu menaiki dua motosikal berhenti di depan kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Zaidong Mustafa, berkata ketika kejadian mangsa yang juga anak saudara kepada pemilik kedai itu menjalankan kerja harian bersama pekerja warga Bangladesh sebelum didatangi empat suspek.

Beliau berkata, empat lelaki menaiki dua motosikal pergi ke kedai getah berlesen di Kampung Sungai Senam, Sik, menjual getah beku 17kg.

“Ketika mangsa membuka laci mengambil wang dan membuat bayaran, tiba-tiba seorang daripada suspek menembak mangsa dari jarak dekat menyebabkan salah satu daripada tiga das tembakan terkena perut mangsa.

“Rakan mangsa cuba membantu tetapi gagal berikutan suspek melepaskan tembakan ke arahnya.

“Suspek melarikan diri bersama wang tunai RM10,000, manakala mangsa dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Zaidong berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, isteri mangsa, Firiani Bustaman, 32, berkata dia menyedari mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan rakan suaminya yang menghubunginya sejurus kejadian itu.

“Saya terkejut selepas mendengar berita suami ditembak. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana suami selamat cuma cedera di perut.

“Dia baru empat bulan bekerja dengan bapa saudaranya,” katanya.

No comments:

Post a Comment