Saturday, May 8, 2010

Panel 10 pakar periksa kesihatan Sultan



KOTA BHARU - Sebuah panel dengan 10 pakar perubatan yang dilantik Kerajaan Negeri Kelantan hari ini memulakan pemeriksaan kesihatan ke atas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini Selasa lepas untuk rawatan susulan masalah jantung. 

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata, kesemua pakar perubatan itu tiba di sini pagi ini untuk menjalankan pemeriksaan rapi ke atas Sultan Kelantan. 

Menurutnya, pakar-pakar perubatan itu tiba di HUSM kira-kira jam 3 petang dengan menaiki kenderaan kerajaan negeri. 

“Mereka melakukan pemeriksaan untuk mengetahui status kesihatan baginda Al-Sultan Kelantan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau berkata, pasukan pakar perubatan itu akan berada di HUSM sehingga laporan status kesihatan baginda selesai dijalankan. 

Bagaimanapun, Abdul Halim berkata pihaknya tidak pasti berapa lama pakar perubatan itu akan berada di HUSM. 

Beliau berkata setelah siap, laporan itu akan diserahkan kepada Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra. - Bernama

No comments:

Post a Comment