Wednesday, May 5, 2010

POS rugi RM 227j saja bukan RM 5467j tak banyak


Tanggungan kerugian RM227j - Awang Adek

KUALA LUMPUR 4 Mei - Kementerian Kewangan hari ini menjelaskan, Pos Malaysia Bhd. menanggung kerugian sebanyak RM227 juta dan bukannya RM546 juta seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, kerugian itu disebabkan oleh penyusutan nilai 20 peratus saham syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Berhad yang dibeli pada 2004.
"Kita lihat terdapat kenyataan akhbar hari ini bahawa Pos Malaysia kerugian RM546 juta, saya ingin menjelaskan jumlah yang disebut tidaklah tepat.
"Maklumat terakhir yang saya peroleh daripada Khazanah Nasional Berhad dan Pos Malaysia, jumlah kerugian sebenar ialah RM227 juta,'' katanya sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan gesaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) supaya bekas Menteri Kewangan Kedua yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar menjelaskan mengenai kerugian RM546 juta yang ditanggung Pos Malaysia.
JMM turut meminta Nor Mohamed menjelaskan hubungan beliau dengan seorang ahli perniagaan, Shaikh Akmal Shaikh Alaudin iaitu Pengarah Syarikat E-Efficient Solution Bhd., yang didakwa mendapat kontrak bernilai RM900 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam perkembangan berkaitan, Awang Adek berkata, penyusutan nilai saham berkenaan telah diperuntukkan dalam akaun Pos Malaysia sebanyak RM227 juta menyebabkan pada 2007 syarikat berkenaan kerugian RM33 juta, manakala 2008 pula RM35.8 juta.
"Tetapi pada 2009, Pos Malaysia telah kembali untung sebanyak RM75.4 juta, bermakna setelah mengambil kira jumlah yang diperuntukkan pada 2007 dan 2008, Pos Malaysia kembali untung.
"Dan dijangka untung pada tahun 2010 semakin tinggi kerana penyusunan semula yang telah dibuat sebagaimana tarif setem sudah pun dinaikkan dari 30 sen kepada 60 sen dan ini akan memberikan hasil kepada Pos Malaysia," katanya.
Mengenai punca penyusutan nilai saham Transmile, Awang Adek berkata, ia berikutan penipuan besar-besaran membabitkan pemalsuan akaun sebanyak RM622 juta yang sebenarnya tidak wujud tetapi diada-adakan.
Menyentuh mengenai pemberian kontrak LHDN secara rundingan terus kepada sebuah syarikat, Awang Adek berkata, nilai sebenarnya ialah RM585 juta dan bukannya RM900 juta.
Katanya, kontrak berkenaan dianugerahkan pada 2005 dan ia akan tamat pada tahun ini.
"Ini membabitkan kontrak pengimejan dan pengimbasan fail-fail dan borang cukai untuk dimuatkan dalam sistem komputer," katanya.

No comments:

Post a Comment