Sunday, June 6, 2010

Polis nafi siasat Aburizal



JAKARTA 5 Jun – Polis Indonesia hari ini menafikan siasatan sedang dijalankan ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan ahli politik yang juga usahawan, Aburizal Bakrie, atas dakwaan mengelak membayar cukai.
“Kami menyiasat 149 syarikat... namun tidak secara spesifik menyebut mengenai syarikat yang berkaitan Aburizal,” kata jurucakap polis kebangsaan, Edward Aritonang.
Seorang ketua detektif polis sebelum ini menyatakan, siasatan dibuat berdasarkan keterangan bekas pegawai cukai, Gayus Tambunan yang mendakwa dirinya menerima rasuah dari syarikat berkaitan Aburizal bagi mengelakkan cukai berjumlah berjuta-juta dolar.
Jurucakap keluarga Aburizal, Lalu Mara Satriawangsa semalam menafikan tuduhan terbaru itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Aburizal merupakan Pengerusi Parti Golkar, individu penting dalam pakatan pemerintah dan mungkin akan bertanding merebut jawatan Presiden pada 2014.
Beliau menafikan berlakunya konflik antara pelaburan perniagaan yang luas milik keluarganya dengan aktiviti politik sebagai ketua Golkar dan ‘setiausaha agung’ pakatan.
Gayus memberitahu penyiasat antirasuah bahawa kira-kira 40 syarikat merasuahnya untuk mengelakkan cukai, termasuk Bumi Resources milik Aburizal dan dua anak syarikatnya, Kaltim Prima Coal dan Arutmin.
Dalam kes berasingan, pejabat cukai kini menyiasat Bumi Resource dan beberapa anak syarikatnya kerana cukai tidak berbayar sebanyak AS$200 juta (RM655 juta).
Syarikat-syarikat terbabit bagaimanapun, menafikan sebarang salah laku ketika aktivis antirasuah melihat kes cukai ini sebagai ujian penting komitmen kerajaan untuk melakukan pembaharuan.
Kekayaan Aburizal melonjak dari AS$750 juta (RM2.5 bilion) kepada AS$2.6 bilion (RM8.5 bilion) tahun lalu, menurut kajian yang dibuat majalah Globe Asia. – AFP

No comments:

Post a Comment