Saturday, June 26, 2010

Sultan Johor mulakan KMJ 2010 pandu kereta api


26/06/2010 4:37pm

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini memulakan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 selama tiga hari dengan memandu sendiri kereta api sebagai pengangkutan utama yang akan meliputi empat daerah di negeri ini.
Kembara pertama sejak Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari lepas itu menjadi menarik apabila baginda sendiri memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer bermula dari JB Sentral ke Gemas, Negeri Sembilan sebelum kembali semula ke JB Sentral.
Pada pelancaran kembara hari ini, Sultan Ibrahim bertitah, baginda berharap rombongan yang diketuainya dari Johor Baharu ke Kulaijaya, Kluang dan Segamat itu dapat melihat sendiri kehidupan dan cara hidup rakyat berbilang kaum.
"Perkara ini penting kerana dapat mengenali dan memahami rakyat, terutama rakyat di luar daerah. Bila kita rapat dengan rakyat, barulah mereka dapat nyatakan isi hati mereka,” titah baginda.
Turut berangkat menyertai rombongan berkereta api pada kira-kira pukul 10 pagi itu adalah isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Muhyiddin bagaimanapun hanya menyertai rombongan itu sehingga ke Kulaijaya. - Bernama

No comments:

Post a Comment