Thursday, June 24, 2010

Tiada projek terbengkalai


KUALA LUMPUR 23 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang lalu tiada sebarang projek di bawah Kementerian Pelajaran terbengkalai.
Menurut beliau yang juga Menteri Pelajaran, melalui RMK-9 sebanyak RM26.093 bilion telah diperuntukkan kepada kementeriannya dengan jumlah 15,324 projek termasuk tambahan 808 projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.
Beliau berkata, sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 8,870 projek telah berjaya disiapkan, 5,312 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, manakala 942 projek lagi akan bersambung ke RMK-10.
“Bagi prestasi perbelanjaan pula, sebanyak RM16.668 bilion iaitu 85.12 peratus daripada keseluruhan siling yang ditetapkan. Dijangka akan dapat membelanjakan keseluruhan peruntukan tersebut menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan RMK-9 bagi peringkat Kementerian Pelajaran pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, menjawab celahan Teo Nie Ching (DAP - Serdang) yang mendakwa kerajaan melakukan diskriminasi terhadap sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil apabila tidak membenarkan mereka membina sekolah baru di tapak rezab sekolah kebangsaan, Muhyiddin berkata, dakwaan itu langsung tidak betul.
“Kerajaan tidak pernah menganaktirikan mereka tetapi kita kena keutamaan sistem pendidikan kebangsaan. Malaysia adalah sebuah negara baik hati apabila kita tetap benarkan bangsa lain untuk membuka sekolah.
“Keutamaan ialah dasar yang dipersetujui dahulu SJKC atau SJKT, tapaknya kena sediakan sendiri. Tapak rezab sekolah kebangsan perlu untuk keperluan setempat bagi mengelakkan kita berhadapan dengan masalah pada masa hadapan untuk membina sekolah kerana tiada tanah.
“Sedangkan kerajaan beri RM1.8 bilion setiap tahun untuk bayar gaji kira-kira 32,000 guru di kedua-dua sekolah itu, tidak perlu mereka sebut dan uar-uarkan. Jadi tidak bolehkah pula masyarakat berkenaan menyediakan tapak bagi sekolah yang kekurang murid itu berpindah,” katanya.
Dalam pada itu, Chong Eng (DAP - Bukit Mertajam) yang mencelah mencadangkan supaya kerajaan turut menubuhkan kolej matrikulasi untuk bukan bumiputera sebagai pilihan terbaikuntuk memasuki pusat pengajian tinggi, memandangkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia didakwa terlalu sukar.
“Kebanyakan kemasukan bumiputera ke pusat pengajian tinggi banyak melalui matrikulasi, bukan bumiputera pula melalui STPM, tetapi yang menjadi masalahnya STPM terlalu sukar.
“Jadi saya cadangkan kerajaan supaya tubuh matrikulasi untuk bukan bumiputera terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga susah atau golongan kurang upaya,” katanya.
Jelas Muhyiddin, cadangan itu merupakan sesuatu yang besar, maka ia amat perlu diteliti dengan mendalam daripada pelbagai sudut utama.
“Soal STPM susah ini, kita akan teliti perkara ini. Pada asasnya setiap pelajar perlu diberi peluang berdasarkan sistem yang adil,” katanya.

No comments:

Post a Comment