Sunday, July 4, 2010

KDN pantau tabloid begitu 'bebas' esok





2010/07/04

KUALA LUMPUR: Akhbar tabloid yang selama ini begitu 'bebas' menyiarkan laporan sensasi hingga kerap melanggar syarat permit, kini menjadi sasaran pemantauan lebih agresif Kementerian Dalam negeri (KDN) dalam usaha membendung berita bersifat sensitif terhadap pemikiran rakyat hingga boleh menjejaskan keselamatan negara. 

Berikutan itu, mulai esok KDN memulakan langkah drastik itu bagi merapatkan jurang yang wujud dari segi pemantauan kementerian berkenaan terhadap akhbar tabloid dan akhbar arus perdana ketika ini.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata perubahan dilakukan itu bagi memastikan tiada lagi akhbar tabloid yang sering melanggar syarat permit apabila menyiarkan laporan sensasi dan memberi kesan kepada rakyat serta negara.
“Memang diakui selama ini, kami terlepas pandang penerbitan akhbar tabloid dan tiba masanya untuk lebih fokus dan teliti mulai sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Ketika ini, antara akhbar tabloid yang masih beroperasi ialah Harian Metro, Sinar Harian, Kosmo, Harakah, Suara Perkasa dan The Malay Mail. 

Selain pemantauan harian, mingguan dan bulanan, pengarang akhbar itu turut dipanggil menghadiri sesi bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, setiap tiga bulan. 

“Setakat ini, kita dapati kebanyakan akhbar tabloid masih tidak memahami syarat permit, termasuk mengemukakan lapan salinan akhbar setiap keluaran, selain tidak dibenarkan menyiarkan berita yang boleh menggemparkan fikiran rakyat dan menjejaskan keselamatan rakyat serta negara. 
“Sebagai permulaan, mulai minggu depan juga pengarang setiap akhbar terbabit akan dipanggil ke KDN untuk lebih mengenali satu sama lain dan memberi penjelasan dengan lebih terperinci berhubung syarat permit penerbitan akhbar berkenaan,” katanya. 

Baru-baru ini, KDN menggantung akhbar Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan berkuat kuasa 1 Julai lalu kerana didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. 

Kementerian itu dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan tabloid terbabit dan permit penerbitan tahunannya yang tamat tempoh semalam, tidak akan diperbaharui. 

Sehubungan itu, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN, Datuk Zaitun Ab Samad, berkata mulai 1 Julai lalu, permit penerbitan akhbar PKR itu tidak lagi sah dan ia tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan. 

Selain itu, kementerian berkenaan juga memanggil editor Suara Perkasa bagi memberi penjelasan berhubung artikel bertajuk ‘Tahan Ka Siong Bawah ISA.’ 
Pertemuan hampir sejam itu bermula jam 5 petang kelmarin dan dihadiri Editor akhbar tabloid berkenaan, Amirudin Mohamad; Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi dan Zaitun. 

Mahmood berkata, perubahan yang dilakukan KDN itu bagi memastikan tiada lagi akhbar tabloid yang sering melanggar syarat permit apabila menyiarkan laporan sensasi dan memberi kesan kepada rakyat serta negara. 

“Memang diakui selama ini, kami terlepas pandang penerbitan akhbar tabloid dan tiba masanya untuk lebih fokus dan teliti mulai sekarang,” katanya.

No comments:

Post a Comment