Tuesday, July 27, 2010

perangai UMNO tuduh macam-macam dari dulu kini dan selamanya

Nik Abdul Aziz semakin takbur - Md. Alwi

KOTA BHARU 26 Julai - Sikap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengecam keras ulama yang menjadi perantara kepada kerjasama antara UMNO dan Pas menunjukkan Mursyidul Am Pas itu semakin takbur.
Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, kekuasaan dimiliki Nik Abdul Aziz dalam Pas dan kerajaan negeri menyebabkan beliau lupa bahawa Islam mahu umatnya sentiasa menjalin hubungan persaudaraan.
Jelas beliau, komen-komen Menteri Besar Kelantan itu yang selama ini konsisten mengecam mana-mana pemimpin yang tidak bersetuju dengan pendapatnya, menampakkan lagi sikap takburnya itu.
"Jangan takbur, saya menganggap Nik Abdul Aziz ini sudah sampai ke peringkat takbur sebab cap mufti macam itu sekali," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Md. Alwi mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz menyifatkan sesiapa sahaja yang cuba menjadi orang tengah untuk parti itu dengan mengadakan perbincangan dengan UMNO sebagai 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga menegaskan bahawa Pas tidak memerlukan peranan sesiapa untuk menjadi orang tengah sekiranya parti itu mahu berbuat demikian.
Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyatakan kesediaan beliau untuk terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak tidak menyenanginya.
Harussani berkata, terdapat beberapa pemimpin kedua-dua parti itu yang bertemu dengannya untuk berbincang dan meminta pandangan ke arah menjayakan perpaduan tersebut.
Bagaimanapun, hasrat beliau dikritik pelbagai pihak dalam Pas dan penyokong parti itu.
Dalam pada itu, Md. Alwi berkata, sebagai seorang ulama, Harussani cuma menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan ajaran agama bagi menyatukan umat Islam di negara ini.
"Dalam al-Quran (ada menyebut) jika dua bersaudara bergaduh mereka perlu didamaikan, inilah yang dilakukan oleh Harussani sebagai seorang pemimpin agama.
"Kalau dia (Nik Abdul Aziz) rasa dirinya ulama janganlah bersikap demikian. Dulu dia juga pernah berseorangan tetapi sekarang apabila sudah kuat jadi macam begini.
"Soal dia tidak mahu perpaduan tidak mengapalah tetapi kehendak majoriti rakyat Islam Malaysia mahu kita bersatu dan memastikan orang Islam kembali kuat di negara ini," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment