Tuesday, August 31, 2010

Ahli politik cuba eksploitasi masjid


IMAM Feisal berdialog dengan jemaah selepas mengimamkan solat Zuhur di sebuah masjid di Bahrain.
IMAM Feisal berdialog dengan jemaah selepas mengimamkan solat Zuhur di sebuah masjid di Bahrain.

Pilihan raya pertengahan penggal beri kesan besar 


DUBAI: Protes terhadap pembinaan pusat Islam dekat lokasi 9/11 di New York ada hubungan rapat dengan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, November depan, kata Imam Feisal Abdul Rauf yang mengetuai usaha berkenaan, semalam.
“Tidak syak lagi, musim pilihan raya memberi kesan besar kepada bentuk perdebatan isu ini,” kata Feisal yang dipetik akhbar di sini, The National, yang mewawancara beliau mengenai lawatannya ke Teluk dengan ditaja Jabatan Negara Amerika.
Feisal tidak merujuk kepada mana-mana jentera politik kerana sekadar menyatakan sebab mengapa protes itu meletus ketika ramai ahli politik membantah pembinaan pusat bernilai AS$100 juta (RM320 juta) itu termasuk sebuah masjid dan pusat budaya Islam.

Ada ahli perundangan Republikan yang bertanding dalam pilihan raya kali ini menjadikan pembinaan Park51 yang sebelum ini dipanggil ‘Rumah Cordoba’ sebagai isu selepas pemimpin seperti Newt Gingrich dan Sarah Palin menyatakan tentangan.

Kevin Calvey, ahli Republikan yang bertanding kerusi Kongres di Oklahoma, berkata pemimpin Muslim yang menyokong pembinaannya ‘jelas penyokong pengganas.’
Malah, ahli Demokrat juga berasa tertekan supaya memberi pandangan balas dalam perbahasan berkenaan.
Anggota Demokrat paling kanan di Senat, Harry Reid, yang menghadapi tentangan hebat di Nevada, berkata masjid itu perlu dibina lebih jauh dari lokasi ‘Gound Zero.’

Malah, Presiden Barack Obama yang berkata penduduk Muslim berhak mengamalkan agama mereka dan membina masjid itu di Manhattan, kemudian mengubah pendirian dengan menyatakan beliau tidak menyokong pelan itu sepenuhnya.

Feisal membandingkan keadaan Muslim Amerika sekarang dengan prejudis berasaskan agama serta serangan terhadap kumpulan lain termasuk imigran Yahudi dan Roman Katolik.

Apapun, katanya, penduduk Islam Amerika adalah sebahagian daripada identiti Muslim Amerika.

“Selepas beberapa waktu berlalu dan generasi kedua (Muslim) terbentuk kukuh di Amerika, mereka membincangkan identiti Islam di Amerika yang semakin dilihat sebagai terasing daripada penduduk tempatan.

“Golongan radikal wujud dalam dunia Islam. Ia juga ada di kalangan pengikut agama lain. Mereka kuat kerana saling memerlukan. Kita perlu tentang mereka.

“Itu saja cara untuk menang dan mewujudkan suasana yang selamat di seluruh dunia, itulah yang semua orang mahu sebenarnya.” kata Feisal. – AP

No comments:

Post a Comment