Wednesday, August 18, 2010

Keadaan sudah jauh berbeza - Soi Lek


KUALA LUMPUR 17 Ogos - MCA kesal dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan tragedi 13 Mei dengan tuntutan parti itu dalam Kongres Ekonomi Cina, Sabtu lalu.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengingatkan Timbalan Perdana Menteri bahawa keadaan sosioekonomi negara jauh berbeza dari 1969 dan rakyat Malaysia kini berupaya untuk bersikap rasional dalam membincangkan isu tuntutan sesuatu kaum tanpa mencetuskan konflik perkauman.
Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa MCA tiada rancangan atau berminat untuk menafikan hak kaum lain dalam memperjuangkan kepentingan kaum Cina.
Justeru jelasnya, taat setia MCA terhadap Barisan Nasional (BN) tidak patut dipersoalkan kerana parti itu sebelum ini menyokong UMNO bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum lalu.
"MCA sentiasa sensitif terhadap peranannya sebagai parti komponen BN, namun kami juga harus memainkan peranan untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina bagi memastikan parti ini terus relevan.
"Apa yang kami minta adalah berkongsi dengan adil. MCA tidak berniat untuk merampas hak-hak kaum lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum di negara ini.
Katanya, beliau mengakui bahawa setiap kaum berhak memperjuangkan nasib kumpulan yang diwakili, bagaimanapun perbuatan itu jangan sesekali dilihat boleh menjejaskan sensitiviti kaum lain.
Tegasnya, MCA harus menginsafi bahawa ia merupakan sebahagian daripada komponen BN yang sudah tentu mempunyai prinsip yang perlu dihormati secara bersama.
Dalam pada itu Soi Lek berkata, sebagai negara berbilang kaum, pembangunan Malaysia tidak sepatutnya berdasarkan 'pihak menang dapat semua, pihak kalah tidak dapat apa-apa' (zero-sum game).
Jelasnya, ia dikhuatiri akan menyebabkan negara ini terus terbelenggu di peringkat berpendapatan sederhana sekiranya kerajaan tidak meliberalkan ekonomi untuk meningkatkan pelaburan.
Tambahnya, kerajaan seharusnya menarik pelabur domestik dan asing untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan ekonomi negara dan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Model Baru Ekonomi (MBE) ke arah negara berpendapatan tinggi pada 2020.
Soi Lek juga berkata, pelaksanaan pembangunan perlu berdasarkan keperluan, manfaat dan pasaran yang mesra orang ramai.
Oleh itu, beliau menyarankan masyarakat bumiputera perlu diberikan keutamaan harga (price preference) di dalam sektor-sektor ekonomi tertentu ketika meliberalkan ekonomi negara untuk melaksanakan tender secara terbuka.
"Bagaimanapun, bagi membolehkan bumiputera bersaing dengan lebih adil, maka kami mencadangkan supaya mengurangkan 30 peratus ekuiti bumiputera secara berperingkat-peringkat dan memperkenalkan keutamaan harga," katanya.

No comments:

Post a Comment