Tuesday, August 10, 2010

Kes liwat Anwar: Amerika tidak campur tangan



ROMPIN 9 Ogos - Malaysia yakin Amerika Syarikat (AS) tidak akan campur tangan dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, kerajaan AS di bawah pentadbiran Presiden Barrack Obama bersikap adil dan tidak mahu terlibat dalam kes tersebut.
Menurut beliau, sikap yang ditunjukkan oleh pentadbiran Presiden AS itu berbeza dengan pemimpin lain negara itu yang sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan berkaitan Penasihat PKR itu.
"Kerajaan AS sekarang bersikap adil dan mengambil pendirian tidak mencampuri urusan tersebut kerana ia bersifat peribadi antara Anwar dengan bekas pembantunya," katanya kepada pemberita selepas menutup program Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) peringkat wilayah Kuantan di Bandar Tun Razak di Muadzam Shah dekat sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Naib Presiden AS, Al Gore dan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz dalam akhbar Asian Wall Street Journal yang mahu kerajaan AS campur tangan dalam kes liwat Anwar.
Menurut Jamaludin, gesaan Al Gore dan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang mahu kerajaan AS campur tangan dalam isu tersebut merupakan kenyataan peribadi mereka untuk mempertahankan Anwar.
Katanya, hubungan antara Malaysia dan AS kini sudah jauh berubah kerana negara itu mengambil pendirian bahawa kes tersebut adalah peribadi dan percaya pihak mahkamah dapat menyelesaikannya.
"Kita hargai tindakan kerajaan AS yang tidak mencampuri urusan Malaysia dan ini bermakna cara pentadbiran negara itu sudah jauh berubah berbanding dahulu," jelasnya.
Beliau mendakwa, tindakan Al Gore yang mahukan kerajaan AS mendesak Malaysia berhubung kes Anwar itu disebabkan beliau tidak berpuas hati dengan pentadbiran Obama.
Justeru, beliau berharap hubungan antara Malaysia dan AS sentiasa terjalin baik dan mengeratkan persahabatan dalam pelbagai perkara yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment