Monday, September 6, 2010

Ada pihak lancar perang saraf terhadap Felcra





2010/09/05

IPOH: Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata ada pihak tertentu kini giat melancarkan "perang saraf" terhadap agensi berkenaan. 
Beliau berkata pelbagai risalah yang memburukkan agensi itu telah diedarkan ke seluruh tanah rancangan Felcra.
Katanya niat mereka jelas bertujuan untuk menghasut peserta Felcra membenci pengurusan Felcra termasuk kerajaan dan menurutnya kemungkinan kegiatan itu didalangi parti pembangkang. "Kita sedar dengan taktik buruk mereka...mereka kini sibuk melancarkan perang saraf termasuk menyebarkan pelbagai risalah memperburukkan agensi yang telah terbukti kejayaannya membantu peserta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Semarak Ramadan Bersama Pengurusan Felcra Berhad Wilayah Perak di sini hari ini.

Tajuddin berharap peserta Felcra tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. 

Antara dakwaan yang ditimbulkan ialah pembelian tanah seluas 8,000 hektar di Sarawak beberapa tahun lalu kononnya tidak mengikut peraturan, katanya. 

"Jika benar dengan apa yang didakwa itu, kenapa sehingga sekarang pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendakwa mereka yang terlibat itu. 
"Pada hal, estet kelapa sawit itu kini telah mula memberikan pulangan hasil termasuk mampu membiayai gaji kakitangan Felcra," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment