Thursday, September 30, 2010

Bekas ADUN meninggal dunia





2010/09/30

KUCHING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu yang pernah menjadi Menteri Muda Pertanian dan Industri Makanan Sarawak, Datuk Ramsay Noel Jitam, 78, meninggal dunia malam semalam, selepas menderita penyakit kanser paru-paru. 

Beliau menyertai politik selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 1983, meninggalkan isteri, Datin Ann Kathleen Jitam, tiga anak, Jeffrey Foster, Malcolm Orlando, Elizabeth Indra, dan empat cucu.
Karier politik Ramsay bermula selepas dipelawa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 1983 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lundu yang kemudian dikenali sebagai DUN Tanjung Datu selama empat penggal.
Ramsay yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Komandan Pasukan Polis Hutan (PPH) Sarawak kemudian menarik diri dari mempertahankan kerusi DUN Tanjung Datu pada 2001 sebelum mengumumkan bersara dari politik. 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata rakyat negeri ini kehilangan seorang lagi individu yang banyak berjasa dan berjuang bagi memastikan keamanan serta keharmonian Sarawak. 

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari, menyifatkan jasa mendiang paling besar adalah membantu penubuhan PPH kerana beliau berpengalaman luas dalam selok belok hutan kerana pernah berkhidmat sebagai Pasukan Pengawal Sempadan Sarawak.

No comments:

Post a Comment