Friday, September 10, 2010

Perkasa tidak perlukan mana-mana pihak



KUALA LUMPUR 9 Sept. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak memerlukan sokongan mana-mana parti politik untuk membolehkannya berjuang terutama bagi mempertahankan hak Islam dan Melayu seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa amat memerlukan sokongan rakyat negara ini khususnya mereka yang bersetuju dengan agenda perjuangan pertubuhan itu.
‘‘Sejak Perkasa ditubuhkan kami telah menetapkan beberapa agenda perjuangan dan paling utama adalah mempertahankan Perlembagaan daripada dicabul oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
‘‘Selain itu, Perkasa turut memperjuangkan kewujudan kerajaan yang amanah, adil, saksama, tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, mempunyai sistem penyampaian yang cekap serta mesra rakyat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media hari ini bahawa Barisan Nasional (BN) dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya terutama UMNO membuat keputusan untuk menjauhi Perkasa kerana dikhuatiri ia boleh menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum.
Dalam keputusan pada mesyuarat bulanan BN bagi memperkukuhkan gagasan itu yang pertama kali diadakan di Putrajaya semalam, semua parti komponen turut mengalu-alukan tindakan UMNO apabila mengambil langkah pertama menyatakan pendirian mahu menjauhkan diri daripada Perkasa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, UMNO tidak akan menyokong Perkasa atau Presidennya pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.
Ibrahim berkata, dalam agenda perjuangan Perkasa, pertubuhan itu juga mahukan pemimpin atau wakil rakyat yang beriman, bertaqwa, menjaga solat, celik al-Quran, berakhlak mulia, amanah, mesra rakyat dan tidak sombong.
‘‘Pemimpin atau wakil rakyat juga tidak boleh sama sekali melakukan maksiat, mempunyai sifat tamak haloba dan melakukan perkara-perkara tidak bermoral,’’ katanya.
Mengenai pendirian 13 ahli komponen BN tersebut, Ibrahim berkata, beliau percaya jika Perkasa tidak wujud sekali pun sokongan bukan Melayu kepada BN tetap sama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
‘‘Ia kerana komponen BN terutama pemimpinnya mempunyai bermacam-macam rekod yang boleh menyebabkan rakyat menolak parti itu dan janji Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada mereka,’’ katanya.
Beliau berkata, Perkasa memberi kebebasan penuh kepada mana-mana ahli-ahlinya untuk membuat penentuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

No comments:

Post a Comment