Friday, September 17, 2010

Pesanan pelajar sebelum meninggal

KUALA LUMPUR: “Mama, nanti kalau Abang dah tiada, tolong ucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang bersusah payah menjaga dan rawat Abang. Abang sayang ayah dan mama,” demikian pesanan terakhir Mohd Hariz Azwar Hussain, 17, kepada ibunya Rosnah Warno, 48, beberapa hari sebelum dia meninggal dunia akibat leukemia yang dideritai sejak dua tahun lalu .
Arwah menghembuskan nafas terakhir pada 2 Syawal lalu di Wad Onkologi Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sisi ibu dan bapanya, Hussain Abdul Rahman, 52, serta dua adik-beradiknya.
Rosnah berkata, arwah meninggalkan mereka selepas hampir empat minggu terlantar di hospital dan tidak seperti orang lain, Aidilfitri bagi mereka sekeluarga kali ini suram dengan pemergiannya.

“Seminggu sebelum kematiannya, arwah mengalami pendarahan disebabkan ulser perut yang dihidapinya dan menerima rawatan menghentikan pendarahan dan badannya makin lemah,” katanya.

Turut terkilan dengan pemergian Mohd Hariz adalah Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, yang mengunjungi pelajar berkenaan ketika Ramadan lalu di HKL dan mahu membantunya meneruskan pelajaran dan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun depan.

Dr Mohd Puad ketika dihubungi semalam berkata, arwah kelihatan ceria ketika lawatannya dan kementerian memang membantu pelajar itu meneruskan pengajian bagi menjamin masa depan.

“Tak sangka, dia terlebih dulu dijemput Ilahi dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian memang mengambil sikap fleksibel terhadap pelajar mengalami masalah kesihatan.

No comments:

Post a Comment