Friday, September 24, 2010

Rayuan menantu bekas MB Selangor ditolak dengan kos


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini menolak rayuan menantu kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Ahmad Razali Mohd. Ali terhadap keputusan satu kes saman yang tidak memihak kepadanya.
Dalam kes itu, Datuk Noorazman Adnan, 53, selaku defendan diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada April lalu supaya membayar ganti rugi RM150,000 kepada rakan kongsinya, Mohd. Fazzrul Amri Abdul Aziz, 26, kerana didapati memungkiri perjanjian.
Hakim Datuk Has Zanah Mehat memutuskan menolak rayuan itu dengan kos selepas membenarkan bantahan Mohd. Fazzrul Amri ekoran kegagalan defendan melengkapkan rekod rayuannya.
"Saya juga telah meneliti hujahan bertulis kedua-dua pihak dan alasan penghakiman hakim Mahkamah Sesyen. Dari segi merit, saya dapati terdapat perjanjian lisan yang disokong dengan keterangan-keterangan saksi.
"Oleh itu saya dapati hakim terdahulu tidak terkhilaf dalam keputusannya," ujar beliau yang turut mengubah kos guaman yang harus dibayar oleh defendan daripada RM12,000 kepada RM2,000.
Pada 28 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Ishak Bahari memutuskan agar defendan membayar ganti rugi tersebut kepada Mohd. Fazzrul Amri selain tunggakan gaji RM6,000 sebulan secara berterusan sehingga mencukupi jumlah RM250,000.
Mahkamah itu turut memerintahkan, sekiranya defendan gagal menjelaskan bayaran tersebut, faedah lapan peratus setahun akan dikenakan terhadapnya bermula dari 31 Mei 2005 sehingga selesai pembayaran.
Pada prosiding hari ini, plaintif diwakili peguam, Ravi Chandran manakala defendan diwakili peguam, Siti Rahimah Mohd. Yusof.
Hadir pada prosiding hari ini ialah bapa plaintif yang juga bekas setiausaha akhbar seorang menteri, Abdul Aziz Abdul Rahman, 59, yang ditemani isteri dan seorang lagi anaknya.
Terdahulu, Siti Rahimah memohon agar defendan diberikan masa untuk memfailkan dokumen tambahan memandangkan rekod rayuan masih tidak teratur kerana ikatan dokumen yang digunakan pada prosiding sebelum ini belum disertakan.
Ravi bagaimanapun membantah permohonan tersebut kerana ia melibatkan hampir kesemua ikatan dokumen dan bukannya membabitkan satu atau dua dokumen.
Dalam tuntutan yang difailkan pada Julai 2007, Mohd. Fazzrul Amri yang merupakan pengarah syarikat pengusaha stesen minyak, Intelligent Partners Sdn. Bhd. mendakwa, defendan gagal menjelaskan tunggakan gaji kepadanya seperti yang dijanjikan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Noorazman didakwa gagal membayar gaji plaintif sebanyak RM6,000 sebulan bermula April 2005 hingga Mei 2007.
Menurutnya, defendan melantiknya sebagai pengarah syarikat itu pada 2003 memandangkan beliau memiliki lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengusahakan stesen minyak BHP di Sungai Besi.
Dakwa plaintif, beliau yang kekurangan modal pada waktu itu bersetuju apabila defendan ingin membiayai kos dan operasi stesen minyak tersebut.
Antara perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah plaintif akan memperoleh 30 peratus saham syarikat manakala defendan memperoleh baki 70 peratus lagi.

No comments:

Post a Comment