Wednesday, September 29, 2010

SKMM diarah siasat video paderi hina Islam: Rais

 

KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya membuat siasatan serta merta terhadap klip video dalam laman YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam. 

Rais berkata, beliau telah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi berkenaan dalam klip video itu. 

“Kita akan buat siasatan secepat mungkin mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, saya sendiri akan tentukan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin,” katanya kepada media selepas merasmikan seminar “Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di Rantau Tropika” di sini, semalam. 

Rais berkata, isu itu adalah hal yang serius dan kementerian akan mengambil tindakan, tidak kira di mana ia dipancarkan sama ada menerusi laman YouTube atau Yahoo, asalkan ia disiarkan di negara ini kepada pendengar dan pemerhati internet. 

“Saya juga akan hubungi pihak penguat kuasa supaya semua laporan dan siasatan SKMM yang dikemukakan dapat perhatian segera oleh mereka,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment