Friday, September 3, 2010

UMNO masih kuat dan tetap pilihan orang Melayu - Tengku Adnan



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas persepsi menyatakan UMNO kini merupakan sebuah parti lemah dan bukan lagi menjadi pilihan orang Melayu.
Sebaliknya, beliau menegaskan, UMNO merupakan parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) dan pada masa yang sama menjadi suara mutlak memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini.
"Kepentingan orang Melayu tidak harus dikorbankan dalam amalan berkongsi kuasa di antara parti-parti komponen BN," ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan umno-online di sini, hari ini.
Tengku Adnan ditanya mengenai persepsi negatif yang sengaja dibina oleh pihak-pihak tertentu bahawa UMNO tidak lagi relevan di kalangan orang Melayu di negara ini.
Beliau berkata, agenda Melayu yang diperjuangkan UMNO bukan bertujuan mengambil hak kaum lain termasuk Cina tetapi semata-mata bagi meningkatkan pencapaian Melayu.
Hakikatnya beliau berkata, masih ramai lagi orang Melayu hidup dalam lingkungan kemiskinan.
"Agenda Melayu yang diperjuangkan bukan bermaksud mengambil apa-apa daripada kaum lain termasuk Cina yang menguasai ekonomi tetapi meningkatkan pencapaian Melayu yang ramai lagi hidup dalam lingkaran kemiskinan," katanya.
Katanya, sejarah membuktikan agenda meningkatkan pencapaian orang Melayu tidak pernah menjadi ancaman kepada bukan Melayu.
"Agenda Melayu yang meliputi hak-hak keistimewaan kaum majoriti perlu dilihat sebagai penentu kelangsungan dan survival Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan negara," ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kekuatan UMNO tetap berakar umbi di hati rakyat sekali gus memberi petunjuk bahawa semangat nasionalisme Melayu tidak pernah luntur.
Beliau turut menyentuh mengenai kemampuan UMNO melakukan pengubahsuaian serta penyesuaian dalam menangani cabaran domestik dan global.
Beliau juga mengakui menguruskan sebuah parti yang berjaya seperti UMNO bukanlah sesuatu yang mudah namun UMNO telah membuktikan parti itu mampu menguruskan negara dengan baik.
"Yakin dan percayalah UMNO masih merupakan parti yang berjaya dan bukannya gagal atau di ambang kegagalan. UMNO merupakan parti yang terbukti berjaya menguruskan sebuah negara melibatkan pelbagai kaum dan agama.
"Hakikatnya, rakyat dapat melihat Malaysia bukan sahaja berjaya (di peringkat domestik) tetapi aktif dan memainkan peranan penting dalam komuniti global," ujar beliau.
Beliau tidak menafikan UMNO mempunyai tugas berat dalam melaksanakan perimbangan antara kepentingan Melayu, pelbagai kaum selain percaturan negara dalam arena global.
"Setakat ini, UMNO berjaya dalam memainkan perimbangan tersebut," ujarnya
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, UMNO tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaga kepentingan dan memajukan orang Melayu.
"Walau apa pun orang kata tentang UMNO, parti ini tidak akan kompromi apabila berdepan isu-isu menyentuh nilai-nilai asas orang Melayu.
"Oleh itu, andaian yang menyatakan UMNO kian lemah dan kedudukan Melayu mulai goyah hanya untuk melencongkan perhatian rakyat daripada agenda yang telah ditetapkan," katanya.
Jelas beliau, walau apa pun kemelut dan kritikan, Malaysia dikurniakan kepimpinan baik daripada era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Oleh itu, rakyat perlu lebih optimis dan konstruktif kepada masa depan negara di bawah kepimpinan BN, biar apa ujian dan tafsiran sekalipun," katanya lagi.
Sementara itu Tengku Adnan mahu rakyat menolak parti-parti pembangkang yang menurutnya menjalin hubungan tidak jujur dalam menjayakan agenda berbeza masing-masing.

No comments:

Post a Comment