Thursday, October 14, 2010

4 Ketua Polis negeri naik pangkat pengarah PDRM


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengumumkan kenaikan pangkat dan pelantikan pegawai-pegawai atasan bagi mengisi kekosongan empat jawatan pengarah jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa serta-merta.
Mereka yang dinaikkan pangkat itu merupakan Ketua-Ketua Polis negeri iaitu Datuk Khalid Abu Bakar (Selangor), Datuk Robiah Abdul Ghani (Pahang), Datuk Noor Rashid Ibrahim (Sabah) dan Datuk Syed Ismail Syed Azizan (Kedah).
Dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, Ismail mengumumkan, Khalid dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menggantikan Datuk Hussin Ismail yang dilantik Timbalan Ketua Polis Negara pada 13 September lalu.
Menurutnya, Robiah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan menggantikan penyandangnya, Datuk Abdul Razak Bokhari manakala Noor Rashid sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang baru menggantikan Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin.
"Selain itu, Syed Ismail pula dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menggantikan Datuk Koh Hong Sun.
"Abdul Razak, Zul Hasnan dan Hong Sun telah bersara wajib," katanya.
Pengumuman Ismail itu melakar sejarah kerana Robiah merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan pengarah jabatan, sekali gus menunjukkan kemampuan polis wanita diiktiraf pada tahap tertinggi oleh PDRM.
Sementara itu, Ismail turut mengumumkan, kerajaan meluluskan kenaikan pangkat 265 pegawai polis daripada pangkat asisten supritendan (ASP) kepada deputi supritendan (DSP), berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, kenaikan pangkat itu merupakan satu usaha PDRM untuk memperkemaskan struktur pentadbiran dan pengurusan pasukan itu.
Mengenai calon yang bakal mengisi kekosongan empat jawatan Ketua Polis Negeri, jelas Ismail, ia akan diputuskan dalam satu mesyuarat Suruhanjaya PDRM pada 29 Oktober ini.
"Mesyuarat itu akan membincangkan beberapa perkara seperti pengesahan (jawatan), pengisian gred dan jawatan lain. Keputusannya akan diumumkan kelak," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment