Sunday, October 24, 2010

Amir Junction meninggal



SEGAMAT 23 Okt. - Bekas pemain gitar Junction, Amir, 43, atau nama penuhnya Mohd. Amin Ahmad, meninggal dunia akibat lelah berdekatan rumahnya di Kampung Kadut, Simpang Jabi di sini kelmarin.
Beliau yang masih bujang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 malam dan jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan kampung tersebut pagi semalam.
Ketika kejadian, arwah dikatakan dalam perjalanan ke rumahnya dengan menaiki motosikal tetapi di pertengahan jalan, dia memberhentikan kenderaannya setelah mengalami lelah.
Dia dipercayai mengalami lelah dan sesak nafas secara tiba-tiba dan tidak lama selepas itu meninggal dunia di situ.
Amir merupakan pengasas Junction pada 1985 dan kumpulan tersebut pernah menghasilkan tiga buah album berjudul Arah pada 1988, Penentuan (1989) dan Petualang (1990).
Junction pernah popular dengan lagu Akan Ku Kenang dan Demi Cinta Setia pada lewat '80-an yang liriknya ditulis oleh Mama Juwie iaitu bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.
Sementara itu, rakan karibnya yang juga bekas vokalis Junction, Kamarul Hatta Zaharuden atau lebih dikenali sebagai Hatta berkata, arwah adalah seorang yang berbakat besar.
Kata Hatta, pemergian arwah amat mengejutkan beliau serta rakan seperjuangan lain dan mengharapkan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang soleh.
"Arwah seorang yang pendiam dan baik hati, rakan-rakan merasakan satu kehilangan besar, semoga ahli keluarga tabah menghadapi ketentuan ini dan al-Fatihah untuknya," katanya.

No comments:

Post a Comment