Wednesday, October 6, 2010

Bot nelayan asing pasang Jalur Gemilang ceroboh perairan Malaysia

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan 15 nelayan dari Vietnam untuk menangkap ikan secara haram hanya sembilan batu nautika (16.7km) sahaja dari pantai Bintulu pada Isnin lalu.
Pengarah Operasi APMM Wilayah Sarawak, Komander (Maritim) Syed Nor Adli Syed Abdul Rahman berkata, Jalur Gemilang dikibarkan di atas bot yang mempamerkan pendaftaran pihak Perikanan Sarawak untuk mengaburi kegiatan mereka.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata seorang tekong dan 14 awak-awak yang diberkas itu kini ditahan reman tujuh hari di Penjara Lambir Miri sementara menunggu siasatan selesai.

"Sebanyak 18 ekor penyu pelbagai jenis juga ditemui mati dalam ruang simpanan kapal berkenaan dan dipercayai ditangkap di perairan kita," katanya.

Selain itu, terdapat pelbagai jenis ikan yang keseluruhannya seberat 10 tan ditemui dalam kapal nelayan itu.

Syed Nor Adli berkata, turut ditemui pelbagai peralatan untuk menyelam dan serampang yang dipercayai digunakan nelayan-nelayan berkenaan untuk memburu penyu.

Katanya, kapal itu juga dilengkapi peralatan navigasi yang mencukupi untuk menjalankan kegiatan perikanan laut dalam. Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi enam bulan.

"Kami juga akan merujuk mereka kepada pihak berkuasa negeri berkaitan penglibatan mereka dalam menangkap penyu-penyu yang merupakan haiwan terlindung di negara kita," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment