Monday, October 18, 2010

Kertas siasatan 10 polis curi 40kg syabu siap




2010/10/18

TEMERLOH: Kertas siasatan mengenai pembabitan 10 anggota, termasuk seorang inspektor mencuri kira-kira 40 kilogram (kg) syabu iaitu sebahagian daripada yang dirampas dalam serbuan di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, Mei tahun lalu sudah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara. 

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata perkara itu berlaku kerana sifat tamak anggota terbabit sehingga lupa tanggungjawab sebagai polis.Bagaimanapun, katanya, kejadian itu kes terpencil dan tidak menggambarkan imej keseluruhan anggota polis negeri ini.“Kita ada arahan dan peraturan yang perlu diikuti semua anggota dan pegawai tetapi kes ini berlaku kerana sifat tamak,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Temerloh di sini, kelmarin. 

Sebelum ini, seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan daripada tuduhan mengedar 753,359 gram syabu bernilai lebih RM270 juta yang dipercayai terbesar dalam sejarah negara, apabila Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah dirampas itu milik tertuduh selain tidak memanggil dua saksi penting berhubung kes itu. 

Akhtar menyifatkan perbicaraan kes itu penuh kontroversi selepas mahkamah dimaklumkan mengenai laporan palsu oleh pengadu dan salah laku beberapa anggota polis yang menjadi saksi kes. 

Beliau juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan palsu dan mereka yang melakukan kecurian dadah itu dikenakan hukuman berat dan meminta pendakwa raya mendakwa semua yang terbabit. 

No comments:

Post a Comment