Monday, October 25, 2010

Linda Tsen calon BN Batu Sapi





MUSA Aman berganding tangan dengan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Linda Tsen Thau Lin (tengah) ketika sidang akhbar di Sandakan, semalam. Turut sama Joseph Pairin Kitingan (dua, kiri), Presiden Parti LDP, Datuk VK Liew dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.


SANDAKAN 24 Okt. - Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini.
Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pemilihan Linda Tsen dibuat berasaskan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu kepada empat anak itu.
''Beliau bukan asing di Batu Sapi dan bukan juga asing dalam bidang politik.
''Apa yang lebih penting beliau sedia berkhidmat untuk rakyat Batu Sapi sekali gus meneruskan perjuangan mendiang suaminya," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon BN di Hotel Sanbay di sini hari ini.
Hadir sama Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan timbalannya, Datuk Yee Moh Chai serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsuddin Yahya.
Musa yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Batu Sapi memberitahu selain aktif dalam politik sebagai Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura, Linda Tsen juga banyak terbabit dalam kegiatan kemasyarakatan di daerah ini.
Menurutnya, pemilihan beliau juga adalah isyarat jelas kerajaan dalam mengiktiraf keupayaan seorang wanita di negeri ini.
''Di negara ini telah terbukti ramai wanita yang layak dan mempunyai keupayaan untuk menjadi pemimpin yang baik dan sehebat lelaki," katanya.
Ditanya sama ada pemilihan Linda Tsen sebagai satu strategi meraih simpati pengundi, Musa berkata, terpulang kepada pengundi untuk membuat tafsiran.
''Apa yang penting adalah dia boleh bekerja dan ada pengalaman dalam politik," katanya.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi akan diadakan pada 4 November ini manakala proses penamaan calon akan diadakan pada 26 Oktober di Dewan Masyarakat di sini.
Parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih termasuk pengundi pos.
Daripada jumlah itu 15,099 orang atau 59 peratus merupakan bumiputera Islam, 9,737 atau 38 peratus Cina, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam dan 57 orang etnik lain.
Sehingga kini sebanyak tiga parti politik termasuk BN telah mengumumkan calon masing-masing.

No comments:

Post a Comment