Wednesday, October 27, 2010

Malaysia kekal di tangga ke-56



KUALA LUMPUR - Malaysia mengekalkan kedudukan di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2010, walaupun memungut 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun lalu. 

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, Malaysia yang menduduki tempat ketiga di kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei, memungut 4.4 mata daripada 10 mata untuk berada di depan Thailand yang mendapat 3.5 mata (tempat ke-78) dan Indonesia dengan 2.8 mata (tempat ke-110). 

“Denmark, New Zealand dan Singapura terikat pada kedudukan pertama dengan memungut 9.3 mata. 

“Statistik Malaysia tidaklah merosot malah kekal. Negara kini berada di tengah-tengah (antara baik dan tidak baik). 

“Ketidakstabilan kerajaan, biasanya berikutan konflik legasi, terus mendominasi kedudukan di tempat tercorot CPI. Afghanistan dan Myanmar berkongsi tempat kedua terakhir dengan pungutan mata 1.4, manakala Somalia di tangga terakhir dengan 1.1 mata,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam. 

Beliau berkata, walaupun pelbagai langkah positif dilakukan, pungutan mata Malaysia dalam CPI mungkin disebabkan masalah pelaksanaan serta ketiadaan penambahbaikan dalam pembinaan keyakinan, sekali gus menunjukkan terdapat kekurangan dalam kemahuan politik bagi menghapuskan rasuah. 

"Contohnya, terdapat beberapa perkara yang jelas membimbangkan seperti arahan 'Tiada Tindakan Lanjut' oleh Peguam Negara terhadap mereka yang dikatakan terbabit dalam pelantikan hakim seperti yang didedahkan melalui skandal 'Video Lingam', walaupun perkara itu adalah hasil penemuan dan saranan Suruhanjaya Diraja," katanya. 

Seng Kuan berkata, selain itu, amalan menganugerahkan projek mega serta kontrak tanpa tender terbuka atau bidaan kompetitif yang masih diteruskan, turut menyumbang kepada CPI Malaysia bagi 2010. 

“Kami mencadangkan agar kerajaan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas dan berautonomi, bagi memperkukuhkan undang-undang serta membuat laporan terus kepada jawatankuasa Parlimen, selain ia diberi kuasa melakukan pendakwaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment