Tuesday, October 5, 2010

Padi tenggelam



Oleh Sabaruddin Abd Ghani 

2010/10/05

Sawah tiga kampung musnah akibat banjir kilat perlu bantuan

KUALA KETIL: Kira-kira 20 petani yang mengusahakan sawah padi di Kampung Guar Chempedak, Kuala Badak dan Kuala Tembak, di sini mengalami kerugian beribu-ribu ringgit apabila sawah mereka yang hasilnya boleh dituai dalam tempoh seminggu lagi, musnah ditenggelami banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak Ahad minggu lalu. 

Berikutan itu, pesawah terbabit yang bergantung sepenuhnya kepada hasil padi kehilangan sumber pendapatan musim ini dan berharap mendapat bantuan kerajaan bagi mengusahakan semula tanaman pada musim akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Guar Chempedak, Ramli Abdullah, berkata akibat bencana alam itu, seluas kira-kira 40 hektar sawah di tiga kampung terbabit terendam air keruh dan berlumpur yang merosakkan tanaman padi.
Katanya, berikutan kejadian itu, pendapatan pesawah kebanyakannya adalah daripada golongan miskin terjejas apabila tanaman yang sudah mengeluarkan hasil itu musnah tanpa memperoleh pulangan seperti diharapkan. 

Beliau berkata, antara punca berlakunya banjir kilat yang menenggelamkan sawah ialah limpahan air terlalu banyak di Sungai Tembak yang laluannya mengalir merentasi kawasan sawah padi. 

“Banjir kilat yang melanda sawah padi kali ini paling teruk apabila padi yang menunggu masa untuk dituai terendam dalam air sedalam paras dada menyebabkan tanaman berkenaan reput,” katanya ketika ditemui di sini. 

Secara purata, setiap pesawah mengalami kerugian antara RM6,000 dan RM20,000, bergantung kepada keluasan sawah yang diusahakan. 
Ia termasuk kos mengusahakannya, upah penggunaan jentera pembajak, membuat sistem pengairan, penyediaan benih dan semburan racun serangga perosak tanaman. 

Sehubungan itu, JKKKP kampung menghantar laporan berhubung masalah itu kepada Pejabat Pertanian Daerah Baling dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Ketil supaya bantuan dapat disediakan untuk pesawah. 

Untuk jangka panjang, JKKKP kampung berkenaan berharap kerajaan mengambil langkah tertentu bagi menangani masalah banjir kilat yang sering melanda sawah padi apabila hujan berterusan. 

Pesawah, Jahaya Khamis berkata, sawahnya seluas kira-kira 3.5 hektar yang sudah sedia untuk dituai musnah dinaiki air mengakibatkan kerugian dianggarkan RM20,000. 

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihatkan keadaan sawah terendam air, cuma yang terfikir bagaimana hendak mencari modal untuk mengusahakan semula sawah pada musim akan datang,” katanya. 

Abdul Kadir Mat Isa pula berkata, sawahnya seluas kira-kira 2.5 hektar yang juga menunggu masa untuk hasilnya dituai musnah dalam kejadian banjir kilat kali kedua melanda sawah penduduk kampung terbabit. 

“Berikutan berlaku bencana alam itu, saya mengalami kerugian kira-kira RM8,000 dan berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan bagi membolehkan tanaman musim kedua iaitu bermula bulan ini dapat diusahakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment