Friday, October 22, 2010

Terbabit tukar milik tanah


KLANG – Seorang ahli politik didakwa mempunyai kaitan dalam urusan tukar milik tanah dengan seorang yang dituduh membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga individu lain. 

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendakwa, ahli politik itu bersama adiknya mempunyai kaitan dengan tertuduh itu dalam urusan menukar hak milik tiga bidang tanah di Batu Feringhi, Pulau Pinang. 

Beliau mendakwa, ahli politik itu mempunyai syarikat dan nama tertuduh itu ter:tera dalam urusan tukar milik tanah, dianggarkan bernilai lebih RM30 juta. 

“Laporan polis telah dibuat (oleh seorang ahli politik) dan saya minta polis menyiasat dakwaan itu. 

“Saya mempunyai bukti penglibatan mereka (dalam urusan tukar milik tanah)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kapar, semalam. 

Manikavasagam menunjuk kepada pemberita apa yang didakwa sebagai salinan senarai syarikat yang mempunyai nama ahli politik itu dan tertuduh sebagai pengarah. 

Pada 13 Oktober lalu, empat orang, iaitu N Pathmanabhan, 41, Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Kathavarayan, 30, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. 

Mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos lalu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini. 

Dua hari selepas itu, U Suresh, 26, dan K Sarawanan, 19, masing-masing dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah bagi empat pertuduhan menghilangkan bukti berkaitan kes itu.

No comments:

Post a Comment