Thursday, November 4, 2010

Dua laporan polis dibuat ke atas Nik Aziz



GUA MUSANG 3 Nov. - Dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang di sini petang ini berhubung tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang kepada Orang Asli di Pos Sendrop kelmarin.
Laporan pertama dibuat Naib Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris, 33, pada pukul 3.13 petang manakala laporan kedua oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Datuk Mohd. Fauzi Muhammad, 55, kira-kira 17 minit kemudian.
Kedua-dua individu terbabit menggesa siasatan segera dijalankan memandangkan wang berkenaan diberikan ketika calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad turut berada di situ dan menimbulkan kecurigaan.
"Kita mahu polis menyiasat perkara ini kerana ia jelas disiarkan dalam akhbar hari ini yang menunjukkan Menteri Besar, telah memberi wang kepada Orang Asli.
"Persoalannya apa tujuan wang itu memandangkan Dr. Zulkefli yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas juga berada di situ," kata Mohd. Fauzi ketika ditemui selepas membuat laporan itu di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas menyampaikan sumbangan berkenaan kepada beberapa pemuda Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada Majlis Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Pos Sandrop kelmarin.
Ia merupakan sebahagian program sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan Khamis ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan kira-kira 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok kepada masyarakat Orang Asli di situ.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Dr. Zulkefli.

No comments:

Post a Comment