Monday, November 1, 2010

PTJ beri notis 30 hari untuk pindah




KOTA BHARU - Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Kota Bharu sudah mengambil tindakan memberikan notis peringatan kepada pemilik di lima rumah yang didakwa menceroboh tanah perkuburan dan membuang sampah di Kampung Gertak Sagu, Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini. 

Ketua Jajahannya, Tengku Azmi Tengku Tengku Jaafar, berkata, selepas menerima aduan daripada beberapa pihak termasuk orang awam, mesyuarat khas aduan awam diadakan Rabu minggu lalu, pihaknya bersetuju menyerahkan Notis Menceroboh kepada pemilik rumah terbabit. 

“Notis Menceroboh ini disiasat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan pemilik kelima-lima rumah ini diberi masa sebulan (30 hari) bermula Rabu minggu lalu. 

“Kesemua mereka sudah disiasat dan mereka didapati tidak mempunyai geran tanah di Tanah Perkuburan Islam Nescayan, Kampung Gertak Sagu, Kemumin, Pengkalan Chepa dan sebagai pentadbir tanah, kami berasa dukacita di atas perkara yang berlaku ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini. 

Tengku Azmi berkata, Biro Pengaduan Awam PTJ pernah menerima aduan daripada pihak awam sebelum ini dan menghargai langkah prihatin orang ramai dalam menangani masalah tersebut. 

“Sekiranya ada di kalangan pemilik rumah ini yang masih mengingkari Notis Menceroboh ini dalam tempoh yang ditetapkan (sebulan) iaitu gagal berpindah atau enggan berpindah, PTJ akan mengadakan penyelarasan dengan pihak lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PRDM) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI),” katanya. 

Beliau berkata, jika arahan yang dikeluarkan tidak diendahkan, pihaknya akan mencari tarikh sesuai untuk merobohkan kelima-lima rumah tersebut dan berharap kesemua mereka akur dengan notis yang dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment