Saturday, December 18, 2010

ADUN Tenang meninggal dunia semalam












SEGAMAT - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Datuk Sulaiman Taha, 59, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Allahyarham yang dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 25 November lalu berikutan penyakit kencing manis, meninggal dunia di Unit Jagaan Rapi hospital itu pada jam 1.10 pagi semalam selepas mengalami jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Merah, di sini, sekitar jam 12 tengah hari, semalam.

Jenazah yang dibawa menggunakan van jenazah Pusat Khidmat Masyarakat Adun Kemelah tiba di kediaman keluarga Allahyarham di Jalan Melati, Labis Park, di sini, pada jam 8 pagi sebelum disembahyangkan.

Kemudian, jenazah dibawa ke Masjid Jamek Labis untuk disembahyangkan kali kedua.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Seri Noraini Yaakop dan enam anak perempuan iaitu Marsila, Marliza, Marina, Miza Liyana Taha, Miza Qamarina dan Miza Husna serta seorang anak lelaki, Aiman Azri Taha.

Turut hadir menziarah jenazah ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan; Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Baharom Mohamed; Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong; ADUN Buloh Kasap, Datuk Othman Jais; ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat; ADUN Jementah, Datuk Dr Lee Hong Tee; Pegawai Daerah Segamat, Burhan Amin; Setiausaha Majlis Daerah Segamat (MDS), Mustaffa Kamal Shamsuddin dan rakan-rakan lain.

Sulaiman menjadi ADUN Tenang selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan berjaya mengekalkan kerusi itu pada PRU 2008 selepas menewaskan calon Pas, Md Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi:.

Allahyarham juga Ketua Bahagian UMNO Labis sejak 2001 dan pernah menjadi Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor (1994-1997) serta Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia (1987-1993).

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2008, Tenang mempunyai 14,511 pengundi, di mana 49.66 peratus pengundi Melayu, 38.13 peratus Cina, 12.11 peratus India dan kaum-kaum lain 0.10 peratus.

No comments:

Post a Comment