Friday, December 31, 2010

Guna air hujan untuk memasak

SABAK BERNAM: “Kami menjadikan air hujan sebagai sumber utama untuk kegunaan harian termasuk memasak, mandi dan membasuh pakaian selepas bekalan air dipotong sebulan lalu,” kata penerima sumbangan air percuma Program Air Percuma Untuk Golongan Memerlukan (Tabung Budi), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga).
Ibu tunggal lapan anak, Afzan Alias, 48, yang mempunyai tunggakan bil RM184.31 berkata, sudah dua kali bekalan air di rumahnya dipotong kerana tidak mampu membayar tunggakan ekoran kemiskinan hidup selepas suami tersayang, Mohd Hassim Saari, 60, meninggal dunia lima tahun lalu akibat paru-paru berair.

“Saya kini bergantung hidup kepada bantuan Pusat Zakat Selangor (PZS) RM200 sebulan dan duit itu juga digunakan untuk persekolahan tiga anak serta membeli keperluan harian.

“Kerana tidak cukup wang, saya tidak membayar bil selama empat bulan dan terpaksa merelakan bekalan air dipotong demi memberi sesuap nasi kepada anak-anak yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Dua Tebuk Pulai, di sini, semalam.

Dia antara tiga penerima air percuma Tabung Budi di Sabak Bernam, semalam. Dua lagi penerima, Kamsiah Bontak, 63, dan Omar Sulung, 55.

Mereka menerima 20 meter padu air percuma selama enam bulan daripada Syabas dan Puncak Niaga yang turut membantu menyambung semula bekalan serta menjelaskan tunggakan.
hmetro

No comments:

Post a Comment