Thursday, December 23, 2010

Kabel ancam keselamatan





AHMAD Sabri Abd. Rani menunjukkan kabel elektrik yang mengendur dan membahayakan penduduk di Kampung Tanjung Kubu, Temerloh, semalam.


TEMERLOH 22 Dis. - Penduduk Kampung Tanjung Kubu di sini bimbang dengan keadaan kabel elektrik yang semakin mengendur hingga hampir mencecah tanah di kampung tersebut.
Mereka khuatir keadaan kabel yang terletak di belakang Sekolah Menengah Agama Darun Naim, di sini boleh membahayakan orang ramai terutama kanak-kanak dan pelajar sekolah yang melalui kawasan tersebut.
Sehubungan itu, mereka meminta pihak yang bertanggungjawab menegangkan semula kabel itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu mendapati kabel berkenaan terlalu rendah dan boleh dicapai dengan tangan oleh orang dewasa.
Seorang penduduk, Ahmad Sabri Abd. Rani, 41, berkata, kabel elektrik itu boleh dicapai oleh kanak-kanak dan mereka mungkin bergayut pada kabel yang mengendur itu jika tidak diawasi ibu bapa.
Katanya, masalah itu telah berlarutan sejak setahun lalu dan laporan telah dibuat kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun hingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
"Jika dibiarkan, kabel itu menjadi semakin mengendur dan akhirnya akan jatuh ke tanah dan ia akan lebih membahayakan keselamatan penduduk di sini.
"Kami minta TNB mengambil tindakan segera dengan menegangkan kembali kabel itu demi keselamatan penduduk. Kami bimbang kanak-kanak bergayut pada kabel itu sekali gus menyebabkan berlaku renjatan elektrik.
"Sebab itu kami harap perkara ini segera diambil tindakan supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Ahmad Sabri, selain masalah itu, penduduk kampung juga meminta TNB membaiki tiang elektrik yang condong di kampung tersebut kerana dikhuatiri akan menghempap rumah penduduk.
Katanya, musim tengkujuh ini menyebabkan banyak tiang semakin condong dan penduduk berasa bimbang kerana ia boleh tumbang pada bila-bila masa.
"Kita berharap TNB dapat memantau keadaan kabel dan tiang elektrik di kampung ini dan membaikinya segera," tegasnya.
-utusan

No comments:

Post a Comment