Saturday, December 4, 2010

Kerabat diraja mahu membantu

KUALA TERENGGANU: Penderitaan yang dialami keluarga mangsa simbahan asid mendapat simpati ramai apabila pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan kerabat diraja mula tampil menghulurkan bantuan.
Seorang kerabat diraja negeri ini yang tersentuh hati dengan penderitaan dua beradik yang cacat di muka selepas disimbah asid oleh bapa mereka Ogos lalu bersedia membantu mereka mendapat rawatan termasuk membuat pembedahan plastik.

Tekanan emosi dan penderitaan ditanggung dua kanak-kanak berkenaan, Nurul Dahyatul Mat Haizan, 8, dan adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, mendapat perhatian kerabat diraja berkenaan yang mahu kecacatan mereka dirawat segera.

Seorang pegawai kerabat diraja terbabit ketika menghubungi Harian Metro semalam memberitahu bantuan kepada keluarga itu sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya membantu anak negeri ini yang ditimpa musibah atau terhimpit dengan kesusahan.

“Tengku begitu prihatin dengan penderitaan kanak-kanak berkenaan dan mahu berjumpa keluarga itu serta berusaha membantu seberapa yang boleh dengan segera,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, ketika dimaklumkan mengenai hasrat kerabat diraja berkenaan membantu mendapatkan rawatan termasuk pembedahan plastik untuk dua anaknya, teruja dan menyambutnya dengan lafaz syukur.

Che Ku Zaimah yang turut cedera akibat simbahan asid itu berkata, dia sedih dengan tekanan emosi ditanggung dua anaknya yang tersinggung dengan ejekan rakan hingga malu ke sekolah, justeru berharap ada kepastian segera mengenai langkah rawatan dan pemulihan. “Sepanjang kami berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan, belum ada kepastian daripada doktor sama ada pembedahan plastik akan dibuat. “Hendak membuat pemeriksaan di hospital swasta sudah tentu kami tidak mampu,” katanya yang kini tinggal di rumah ibunya di Kampung Sekayu, Kuala Berang, ketika dihubungi, semalam. Che Ku Zaimah berkata, Nurul Dahyatul paling mengalami kecacatan di muka paling teruk akibat simbahan asid itu, sebelum ini memakai topeng, tetapi kerana malu diejek rakan, dia tidak memakainya lagi menyebabkan lukanya bertambah parah kerana terdedah kepada panas matahari.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit menerusi pelbagai bantuan bersesuaian.

Beliau meminta keluarga berkenaan berjumpa doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapatkan maklumat lanjut mengenai kecederaan dialami dan kos pembedahan diperlukan sebelum mengisi borang dan merujuk kepada pegawainya.

“Di bawah portfolio saya, terdapat Dana Khas Sosial Perubatan untuk membiayai kos perubatan mereka yang menghidap penyakit kronik dan jumlah bantuan sama ada separuh atau penuh ditentukan kemudian bergantung kepada keadaan ekonomi keluarga dan pertimbangan pegawai terbabit.

“Selain itu, keluarga berkenaan juga boleh memohon bantuan menerusi Tabung Darul Iman yang diluluskan peruntukan RM10 juta oleh kerajaan negeri bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terlalu awal menentukan kos pembedahan plastik dan jumlah bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga terbabit kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti rawatan susulan dan tempoh masa.

Begitupun Dr A Rahman memberi jaminan memberi bantuan berdasarkan latar belakang ibu mangsa yang tidak bekerja selain Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sendiri memberitahu kerajaan negeri memberi apa saja bantuan diperlukan kepada keluarga terbabit ketika melawat mereka di HSNZ, Ogos lalu.

Kisah malang kanak-kanak malang berkenaan berlaku apabila kedua-dua ibu bapa mereka menghadapi krisis rumah tangga dan di ambang untuk berpisah.

Dalam kejadian pada jam 1.45 pagi 15 Ogos lalu, bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Haizan Mat Yassin, 32, memecah masuk rumah mentuanya, Minah Omar, 56, dan menyimbah cuka getah yang dibawanya dalam bungkusan plastik dan menyimbah ke arah Che Ku Zaimah tetapi terkena Nurul Dahyatul, Muhammad Irfan dan Minah.

Bapa kanak-kanak berkenaan bertindak demikian kerana marah dengan tindakan Che Ku Zaimah yang meminta cerai.

Bagaimanapun, bapa mereka mendapat balasan atas perbuatannya dan menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan kerana mengaku salah menyimbah asid kepada Che Ku Zaimah.

Rabu lalu, Mahkamah Sesyen di sini turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kerana menyimbah asid kepada Nurul Dahyatul dan penjara dua tahun kerana mencederakan Muhammad Irfan Firdaus. Bagaimanapun, kedua-dua hukuman itu berjalan serentak setelah mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh.

No comments:

Post a Comment