Wednesday, December 1, 2010

Kes kematian Aminulrasyid: 'Seperti pemandu berpengalaman'



Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/12/01

Saksi beritahu Aminulrasyid teringat ibu ketika kereta dipandu dikejar polis peronda 

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, semalam diberitahu cara pemanduan Aminulrasyid Amzah, 15, pada malam beliau terkena tembakan polis pada 26 April lalu seperti seorang yang berpengalaman memandu.
Saksi ke-32 pendakwaan, R Lokman Hakim R Daly, 23, berkata beliau berpendapat sedemikian berikutan pemandu kereta Proton Iswara Aeroback putih bernombor pendaftaran BET5023 itu, cekap mengelak kereta lain di jalan raya ketika dikejar saksi dan dua rakannya.
R Lokman Hakim juga bersetuju dengan cadangan peguam M Athimulan ketika pemeriksaan balas, kereta itu juga dipandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam, berikutan ia dipandu laju dan pemandunya pula cuba menghimpit motosikal yang ditunggang olehnya dan dua rakan. 

“Sekiranya saya tidak mengelak daripada dihimpit kereta itu ketika melalui Persiaran Datuk Menteri, saya percaya kemalangan boleh berlaku. 

“Bagaimanapun, saya akui kejadian kereta rakan saya, Nor Syafiq Ariff Shapril, digesel oleh kereta dipandu Aminulrasyid adalah kejadian tidak disengajakan dan saya juga tidak mengenali siapa pemandu kereta itu,” katanya. 

R Lokman Hakim memberi keterangan terhadap Koperal Jenain Subi, 48, di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar pada perbicaraan kes kematian Aminulrasyid, semalam. 
Jenain yang didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, menyebabkan kematian Aminulrasyid antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11 pada 26 April lalu. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda. 

Sementara itu, saksi ke-35 pendakwaan, Mohd Zubir Salleh, 15, memberitahu mahkamah, Aminulrasyid teringatkan ibunya ketika kereta yang dipandu dikejar kereta peronda polis. 

Mohd Zubir berkata, perkara itu diceritakan rakannya, Muhammad Azamuddin Omar yang berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid, ketika mereka berada dalam tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 di sini, beberapa jam selepas kejadian. 

“Azamuddin memberitahu dia dan Aminulrasyid dikejar polis dan polis mula lepaskan tembakan bermula di stesen minyak. Azamuddin juga beritahu, Aminurasyid ketika itu nak jumpa dengan mak dia, dan Azamuddin beritahu dia larikan diri selepas disepak,” katanya. 

Terdahulu, Mohd Zubir berkata beliau terserempak Azamuddin di luar pagar sekolah kira-kira jam 7.20 pagi dan rakannya itu kelihatan takut seperti bermasalah. 

Beliau berkata, Azamuddin kemudian meminta beliau mengumpulkan rakan mereka di tandas sekolah sebelum memaklumkan bahawa Aminulrasyid meninggal dunia. 

“Azamuddin menceritakan mengenai kejadian itu kepada kami tidak sampai 10 minit, dan selebihnya hanya tangisan yang lama,” katanya. 

Beliau berkata, Azamuddin turut meminta beliau menyimpan sebuah beg plastik berisi kemeja T serta seluar pendek yang dipakainya pada hari kejadian dan beliau kemudian menyorokkan barang itu di lorong berdekatan rumahnya. 

Katanya, beg plastik itu diambil oleh anggota polis forensik yang datang ke rumahnya pada awal pagi 27 April lepas. 

Mohd Zubir berkata, beliau pernah melihat Aminulrasyid memandu kereta milik abangnya di kawasan perumahan tempat tinggalnya. 

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

No comments:

Post a Comment