Wednesday, December 8, 2010

Nikah adik tidak sah





PANTAI REMIS – Seorang ahli keluarga, menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mendakwa keluarganya seperti dipermainkan pihak berkenaan dalam urusan berhubung kes faraq dalam kes pernikahan adik perempuannya 4 Disember tahun lalu. 

Wan Mohd Rosman Wan Hassan, 26, berkata, pada 13 Mei lalu Mahkamah Rendah Syariah Seri Manjung telah memutuskan pernikahan Wan Roszila, 20, di Wilayah Pattani, Selatan Thailand itu sebagai tidak sah mengikut Seksyen 50 (b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2004. 

Menurutnya, mahkamah juga mengeluarkan surat perintah hukuman faraq sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, berserta surat perintah penggantungan sijil nikah berkuat kuasa 6 November lalu. 

“Kami menerima draf surat perintah faraq secara terus pada hari hukuman dijatuhkan dan adik saya menghilangkan diri dari kawasan pekarangan mahkamah sebaik sahaja keputusan itu dibuat, manakala surat perintah penggantungan sijil nikah diterima pada 2 November lalu. 

“Malangnya, sungguhpun kedua-dua surat perintah ini sudah diterima, tiada sebarang tindakan diambil Pejabat Agama Islam Seri Manjung sehingga kini,” katanya ketika ditemui di kedai bapanya, Wan Hassan Wan Ismail, 60, di sini, semalam. 

Wan Mohd Rosman berkata, sejak tarikh hukuman faraq dijatuhkan, sebanyak empat hingga lima laporan polis dibuat, tetapi keadaan sama berlaku iaitu tiada sebarang tindakan dilakukan. 

Katanya, dia dan keluarga kecewa apabila perkara itu seperti tidak diambil berat oleh pihak berkenaan. 

“Sejak awal masalah ini, kami telah membuat 19 laporan polis iaitu bermula dengan laporan kehilangan Wan Roszila pada 21 November 2009. 

“Namun kami kecewa apabila sepanjang kes ini berlangsung, jawapan diterima dari semua pihak yang dirujuk adalah kes ini berada di luar bidang kuasa mereka, sedangkan mereka adalah pihak berwajib dan perintah mahkamah telah dikeluarkan,” katanya. 

Katanya, selama lebih setahun, dia berulang alik ke pejabat pihak berkenaan me�nguruskan masalah itu. 

“Saya mengikut segala prosedur yang diperlukan dan melalui saluran yang betul tanpa membelakangkan perundangan. Namun kami seperti dipermainkan secara berterusan dan tindakan semua pihak terlibat seolah-olah cuba melengahkan masa agar saya sekeluarga berputus asa,” katanya. 

Wan Mohd Rosman berkata, perkara itu sepatutnya telah lama diselesaikan jika semua pihak berwajib melaksanakan tugas mereka. 

“Saya akan terus berusaha menyelesaikan kes ini kerana ia membuka peluang untuk mendedahkan kemungkaran yang berlaku, selain berpeluang memastikan anggota masyarakat lain tidak melalui pengalaman sama. 

“Diharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua dan selepas ini tiada lagi berlaku pernikahan tanpa kehadiran wali yang sah. Bukan kemenangan kes yang dicari, tetapi keadilan dan berharap undang-undang syariah dikuatkuasakan sebaiknya," katanya.

No comments:

Post a Comment