Tuesday, December 21, 2010

Rumah rosak, ramai tanggungan




KOTA BHARU - Hidup dalam kemiskinan dan mempunyai ramai tanggungan yang masih kecil, seorang tukang paip bimbang memikirkan kos perbelanjaan untuk menyediakan kelengkapan sekolah anaknya.

Tukang paip berkenaan, Mohd Norzi Mat Nor, 38, berkata, memandangkan kerjanya tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada permintaan pelanggan, beliau kini berusaha menyimpan wang untuk anaknya.

“Dengan kerja memasang paip di rumah orang, saya menyimpan wang sedikit demi sedikit, tetapi sekarang ini, akibat musim hujan, saya perlu menyediakan kelengkapan di rumah termasuk membeli bekas plastik untuk menadah air hujan atas rumah.

“Ini disebabkan bumbung pada rumah banyak yang sudah bocor menyebabkan air hujan melimpah ke ruang rumah.

"Manakala lantai juga hampir runtuh, jadi saya kena sediakan mana yang perlu dahulu,” katanya kepada Sinar Harian semasa ditemui di Kampung Kenali, di sini, semalam.

Mohd Norzi berkata, kesemua anaknya (empat orang) masih bersekolah di sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1 dan seorang di Tabika pada tahun hadapan.

Menurutnya, dengan memperoleh pendapatan RM400 sebulan secara tidak menentu, beliau dan isteri, Hasmawati Ahmad, 28, yang bekerja di kilang biskut di Pengkalan Chepa risau memikirkan keadaan mereka tambahan sesi persekolahan yang akan bermula beberapa hari lagi.

“Setakat ini, baju sekolah, beg sekolah, kasut dan alat tulis sekolah belum dibeli. Peralatan sedia ada saya minta anak-anak simpan dan guna dengan elok, Cuma saya risau mengenai baju sekolah dan kasut yang sangat diperlukan,” katanya.

Menurutnya, keadaan rumah penting bagi membolehkan anak-anak mereka dapat tidur dan menjalankan aktiviti seharian mereka, namun kelengkapan sekolah pula penting bagi memulakan persekolahan.

Mereka yang ingin membantu dan memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh menghubungi Mohd Norzi pada talian 017-9895055 atau berkunjung ke kediaman mereka di Kampung Kenali, Kubang Kerian, di sini.

No comments:

Post a Comment