Wednesday, January 5, 2011

Anwar dedah dokumen kaitan APCO, 1Malaysia ketika di Tenang




2011/01/05

LABIS: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mendakwa kononnya mempunyai dokumen bahawa Apco Worldwide (APCO) mempunyai kaitan dengan penubuhan gagasan 1Malaysia dan Kempen ‘One Israel’, walaupun kerajaan sudah mendedahkan dokumen membuktikan dakwaannya tidak benar. 

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berjanji dokumen berkenaan iaitu kontrak yang ditandatangani antara APCO dengan Kerajaan Malaysia dan Israel akan didedahkan ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
“Saya ada satu lagi isu besar, kerana digantung (disebabkan) isu APCO, jadi bila saya datang sekali lagi, saya mahu membawa perjanjian APCO dengan Israel dan APCO dengan Amerika. Saya nak bawa perjanjian yang (menyebabkan) saya dihalau.
“Saya nak bawa APCO itu ada kaitan dengan Israel, perjanjian Malaysia dengan Israel dan perjanjian APCO dengan Israel dan perjanjian APCO dengan Kerajaan Malaysia,” katanya ketika berceramah di Pusat Jentera Pas Felda Chempelak, dekat sini. 

Pada 22 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, mendedahkan dua dokumen termasuk surat daripada APCO menafikan pembabitan firma itu dalam gagasan 1Malaysia dan One Israel serta kenyataan bersumpah Penasihat Kanan Kempen One Israel pada 1999 Robert M Shrum yang menafikan pembabitan APCO dalam kempen berkenaan. 

Seminggu sebelum itu Anwar digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau berbohong berhubung isu itu dan walaupun sudah diberikan peluang beberapa kali untuk membela diri dan mengemukakan bukti mengenai dakwaannya dalam Dewan Rakyat, namun Anwar tetap tidak mengemukakan bukti kukuh sehingga kini. 

Anwar ketika berucap selama kira-kira 20 minit dalam perhimpunan yang dihadiri oleh kira-kira 500 orang itu, berkata beliau akan membawa dokumen yang mengandungi kontrak itu pada kunjungannya ke kawasan terbabit sekali lagi.

No comments:

Post a Comment