Sunday, January 16, 2011

JAIS: Tetap larang kerja di premis jual arak



SHAH ALAM 15 Jan. - Jabatan Agama Islam (JAIS) akan tetap melaksanakan undang-undang yang melarang umat Islam daripada bekerja di premis menjual arak walaupun ia menerima tentangan daripada Exco kerajaan negeri ini.
Pengarahnya, Marzuki Hussin berkata, tindakan itu selaras dengan kenyataan Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali yang mahu ia dilaksanakan seperti termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri ini.
"JAIS akan melaksanakan seperti apa yang diperkatakan oleh Datuk Hassan Ali," katanya ringkas ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hassan semalam yang mahu kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan peruntukan Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang tidak membenarkan umat Islam melibatkan diri dalam urusan penjualan minuman keras.
Tambah Hassan, syarat serupa melibatkan urusan pemberian lesen kepada penjual minuman keras terdapat di dalam undang-udang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia dibuat bagi mencegah umat Islam daripada terlibat dengan urusan penjualan arak.
Kenyataan Hassan itu jelas bercanggah dengan pendirian dua Exco kerajaan negeri daripada DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu yang membantah peraturan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang umat Islam bekerja di premis menjuak arak.
Larangan itu didedahkan oleh sebuah portal berita kelmarin yang memetik kenyataan Pegawai Perhubungan Awam MPSJ, Azfarizal Abd. Rashid iaitu premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun atau lesen ditarik balik.
Bagaimanapun, Ronnie yang merupakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan mengeluarkan satu pekeliling mengarahkan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Md. Adnan Ikhsan supaya menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.
Ronnie memberi alasan yang beliau bimbang kemungkinan akan ada umat Islam hilang pekerjaan dan sumber pendapatan selain mendakwa undang-undang syariah itu tidak lagi praktikal untuk dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment