Sunday, February 13, 2011

Analisis: Gema pembaharuan mula dirasai di rantau Asia Barat





2011/02/13

KURANG sebulan selepas dunia menyaksikan rakyat Tunisia menggulingkan pemimpin kuku besi negara mereka, peristiwa di tengah Kaherah memberi gambaran baru kehebatan kuasa rakyat ketika Mesir meraikan berakhirnya pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.

Kejatuhan Mubarak, antara pemimpin politik paling lama berkuasa di Asia Barat, menandakan satu lagi perubahan sejarah dunia Arab dan Asia Barat.
Apa yang bermula sebagai luahan perasaan tidak puas hati ke atas sebuah rejim kuku besi akhir Januari lalu, berubah menjadi pemberontakan rakyat yang akhirnya memaksa Mubarak meninggalkan Kaherah dan meletak jawatan hanya beberapa jam kemudian.
Bagaimanapun, revolusi di Lembah Nil yang tiba ke kemuncaknya 32 tahun selepas kejatuhan kerajaan Shah Iran sokongan Amerika, menimbulkan persoalan sejauh mana kestabilan jangka panjang rejim sekutu Barat lain di wilayah itu.

Ia juga mencetuskan tanda tanya bagaimana Amerika akan menyesuaikan dasarnya berikutan perkembangan terbaru ini.

Setakat ini tiada jaminan gelombang pembaharuan di Mesir akan merebak ke negara lain. Satu cubaan untuk mencetuskan tunjuk perasaan di Syria awal bulan ini digagalkan oleh pasukan keselamatan.

Gema pembaharuan itu bagaimanapun semakin dirasai walaupun sedikit tetapi dengan cara yang amat ketara.
Di Arab Saudi, sebuah kumpulan aktivis pembangkang berkata mereka sudah meminta kebenaran daripada raja untuk menubuhkan parti politik, satu cabaran yang amat jarang dilakukan kepada negara kuasa dengan sistem raja berkuasa mutlak itu.

“Anda mengetahui dengan jelas bahawa perkembangan politik yang besar dan keinginan kepada kebebasan dan hak asasi sedang berlaku di dunia Islam,” kata aktivis berkenaan dalam surat kepada Raja Abdullah.

Perdana menteri baru Jordan, Marouf Bakhit, Rabu lalu berjanji untuk meneruskan pembaharuan politik selepas tunjuk perasaan memaksa Raja Abdullah II merombak kabinet,

Minggu lalu, Presiden Yaman Ali Abdullah Salleh, sekutu utama Amerika yang sudah berkuasa sejak lebih 30 tahun, tunduk kepada tekanan rakyat dan mengumumkan bahawa beliau tidak mempertahankan jawatannya pada pilihan raya 2013.

Beliau juga berjanji tidak akan menyerahkan kuasa kepada anak lelakinya.
“Apa yang berlaku di Mesir akan memberi kesan yang amat besar di wilayah Arab. Ia akan menjadi pencetus kepada negara lain, tetapi tidak dapat dinyatakan negara mana yang akan menyusul selepas ini,” kata Salman Sheik pengarah The Brookings Doha Center, sebuah insitusi yang menjalankan kajian membabitkan dasar di negara Islam beribu pejabat di Doha, Qatar. –– AP
Berita Harian Online | Analisis: Gema pembaharuan mula dirasai di rantau Asia Barat

No comments:

Post a Comment