Monday, February 28, 2011

Najib nafi label Ikhwan Muslimin, Yusuf Al-Qardhawi pengganas





2011/02/28

TEMERLOH: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak pernah melabelkan gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai pengganas.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya gerakan itu perlu menghilangkan persepsi dunia terhadap mereka yang dianggap kumpulan ekstrem.
"Saya tak kata Muslim Brotherhood (Ikhwan Muslimin) ini kumpulan pengganas. Saya kata Ikhwan Muslimin boleh ambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat menolak keganasan dan fahaman ekstremis, sebab ini (kumpulan pengganas adalah) pandangan umum terhadap Ikhwan Muslimin, bukan pandangan saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk FELDA Jengka 25, di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak beliau menarik balik tuduhan dilemparkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Nasharudin dan Anwar berkata demikian sebagai merujuk satu laporan berita disiarkan dalam laman web National Review Online yang memetik ucapan Najib di Istanbul, Turki baru-baru ini yang mendakwa parti politik Ikhwan Muslimin terbabit dengan keganasan dan sifat ekstremis.

"Kalau mereka (gerakan itu) kata, bahawa mereka tak ada ideologi sedemikian rupa (ekstrem), mereka nak ambil bahagian ikut proses undang-undang, menghormati proses demokrasi, cintakan keamanan. Kita (Malaysia) tak ada masalah menerima mereka untuk bertanding pada pilihan raya.

"Lagipun ini bukan keputusan saya, ini keputusan yang perlu dibuat negara lain, negara masing-masing. Saya tak kata mereka ini golongan ekstremis,” katanya.
Berita Harian Online | Najib nafi label Ikhwan Muslimin, Yusuf Al-Qardhawi pengganas

No comments:

Post a Comment