Tuesday, February 1, 2011

Nik Aziz difitnah lagi



Tindakan Nik Aziz lebih teruk - Dr. M



KUALA LUMPUR 31 Jan. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih mengutamakan peluang untuk memburukkan musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan Nik Aziz itu yang dilihat seperti merelakan perbuatan Kuan Yew sebenarnya lebih teruk daripada sikap pemimpin Islam nasionalis di Malaysia.
"Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk daripada Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Kuan Yew dengan menganggap cadangan supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk berbanding apa yang dilakukan Islam nasionalis Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian di dalam entri terbarunya 'Nik Aziz dan Kuan Yew' melalui bloghttp://chedet.co.cc hari ini.
Dr. Mahathir berkata, jika rakan bukan Islam Nik Aziz iaitu Pengerusi DAP, Karpal Singh; Penasihat parti itu, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng menuntut supaya amalan dan ajaran Islam di negara ini dilonggarkan, Nik Aziz berkemungkinan bersetuju dengan cadangan itu memandangkan beliau berpandangan bahawa Islam nasionalis lebih teruk daripada Kuan Yew.
Beliau berkata, banyak perkara yang dilakukan oleh pemimpin Islam nasionalis di negara ini telah memberi manfaat kepada orang Islam.
"Sebaliknya, apakah yang dilakukan oleh Pas dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar adalah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan Pas itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam," katanya.
Menurut Dr. Mahathir lagi, sebagai contoh, Pas memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia apabila ia mengadakan sembahyang Jumaat dua imam, larangan terhadap perkahwinan orang Pas dengan orang UMNO dan mengeluarkan larangan ahli Pas menghadiri kenduri orang UMNO.
Beliau berkata, parti itu juga melaksanakan pengasingan kubur orang Pas daripada orang UMNO, seolah-olah di akhirat juga, Pas inginkan perpecahan di kalangan orang Melayu Islam terus berlaku.
Selain itu katanya, tindakan Pas yang mendakwa UMNO menjadi kafir apabila bekerjasama dengan orang bukan Islam juga menyebabkan orang Melayu bertambah berpecah.
Dr. Mahathir menegaskan, walaupun Pas beranggapan sedemikian tetapi parti itu sendiri mengadakan kerjasama dengan DAP bagi menubuhkan pakatan pembangkang.
"Dengan ini, Nik Aziz telah menentukan kali ini bahawa perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.
"Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Satu daripada ajaran Islam yang penting iaitu orang Islam itu bersaudara tidak dihiraukan oleh Nik Aziz," tegasnya.
-utusan

No comments:

Post a Comment