Monday, February 7, 2011

Wan Chik mohon baiki rumah

Utusan Malaysia Online - Utara



Wan Chik Wan Salleh dan Chik Nen Awang Yik menujukkan sebahagian atas dinding rumah mereka roboh dan memerlukan bantuan untuk membaikinya di Kampung Hutan Setali, Kubang Pasu, semalam.


KUBANG PASU 6 Feb. - Setiap malam, tidur 12 sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Hutan Setali, Mukim Padang Perahu di sini sering terganggu kerana bimbang keadaan rumah mereka yang hanya menunggu masa menyembah bumi.

Bahagian tingkat atas rumah milik Wan Chik Wan Salleh, 61, itu sudah reput dimakan anai-anai serta mulai roboh sedikit demi sedikit sejak awal Januari lalu.

Tambah memburukkan keadaan, cuaca berangin di kawasan utara membuatkan rumah tersebut tidak selamat didiami kerana jika angin bertiup kencang, habuk-habuk kayu yang reput terjatuh ke ruang tamu yang juga menjadi ruang tidur separuh daripada ahli keluarga tersebut.

Wan Chik berkata, sebagai ketua keluarga, dia memang ingin menyediakan kediaman yang lebih selesa buat isteri, tujuh anak, tiga cucunya serta bapa mertua yang tinggal di rumah itu namun pendapatannya sebagai pengawal keselamatan tidak mengizinkan.

"Rumah yang saya duduk sekarang adalah rumah pusaka dan saya tinggal di rumah ini sejak kecil lagi.

"Kami semua memang tidak berani naik ke tingkat atas kerana lantai kayunya reput dan apabila angin kuat, kami gerun kerana mungkin kayu-kayu di tingkat atas ini boleh tercabut," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Menurutnya, tiga anaknya berusia antara 12 hingga 17 tahun masih bersekolah dan dia mengharapkan anak-anaknya itu dapat mengulang kaji pelajaran dalam keadaan rumah yang lebih selesa.

"Saya sudah mohon kepada pihak berwajib untuk membantu membina semula rumah saya, namun sehingga kini masih tiada jawapan.

"Ada beberapa pihak datang mengambil gambar rumah saya dan mereka kata akan baiki rumah ini selepas Aidilfitri tahun lalu tetapi rumah saya tetap tidak dibaiki," katanya.

Dalam pada itu, isterinya, Chik Nen Awang Yik, 56, berkata, dia berada di rumah bersama bapanya yang sedang uzur sewaktu dinding tingkat atas rumahnya tercabut kerana ditiup angin, awal Januari lalu.

"Bunyi kayu-kayu dinding jatuh memang menakutkan dan jika musim hujan pula air memasuki rumah ini.

"Saya berharap rumah saya dibaiki segera kerana setiap malam saya tidak dapat tidur nyenyak memikirkan keselamatan anak-anak yang tidur di ruang tamu rumah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment