Tuesday, March 8, 2011

AS hadapi tekanan hantar senjata ke Libya



KURANG KELENGKAPAN SENJATA: Kumpulan pemberontak yang kekurangan senjata dan tidak tersusun cuba membalas serangan pasukan penyokong pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, di bandar Bin-Jawad, di timur negara itu, kelmarin. -- Foto AP

Obama bertegas semua pilihan masih ditimbang


WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Barack Obama menghadapi tekanan yang semakin meningkat agar ia memberi kelengkapan senjata kepada pemberontak Libya bagi melawan pasukan tentera yang semakin berani dan bersepadu, di tengah-tengah dakwaan bahawa Washington terlepas beberapa peluang menyingkirkan pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi.
Pemimpin Amerika Syarikat itu bertegas berkata semua pilihan yang boleh diambil, termasuk tindakan ketenteraan, masih ditimbangkan ke atas Libya.Pasukan-pasukan Encik Gaddafi melancarkan serangan udara berdarah ke atas pemberontak dan orang awam bagi menamatkan pemberontakan yang dikhuatiri telah membunuh ribuan orang itu.Pendapat di kalangan penggubal undang-undang Amerika dan bekas pegawai kelihatan bertumpu kepada kemungkinan membekalkan senjata kepada pemberontak sebagai satu jalan penyelesaian.'Saya andaikan bahawa banyak senjata akhirnya akan sampai ke sana (kepada pemberontak di Libya) dengan apa cara sekalipun dalam beberapa minggu ini,' kata Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, Encik John Kerry, daripada Parti Demokrat Encik Obama, kepada penyiar CBS kelmarin.Seorang bekas gabenor New Mexico, Encik Bill Richardson, yang juga seorang bekas duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), turut berkata sudah tiba masanya 'melengkapi pemberontak dengan senjata secara senyap' dan melaksanakan zon larangan terbang ke atas Libya.Seorang penasihat keselamatan negara kepada bekas Presiden George W. Bush, Encik Stephen Hadley, berkata Washington harus melihat kemungkinan membekalkan senjata kepada pembangkang.Seorang jurucakap Pentagon, Kolonel David Lapan, enggan mengesahkan sebarang rancangan menghantar senjata. Beliau hanya memberitahu AFP bahawa 'semua pilihan sedang ditimbangkan'.Menurut akhbar The New York Times, pilihan-pilihan ini boleh termasuk penggunaan pesawat penyesak isyarat di ruang udara antarabangsa bagi mencelarukan hubungan pemerintah Libya dengan unit-unit tentera.Satu lagi taktik ialah menjatuhkan senjata dan bekalan dari udara kepada pemberontak, kata laporan itu.Pilihan lain yang ditimbangkan ialah menghantar pasukan-pasukan khas kecil bagi membantu pemberontak, seperti yang dilakukan di Afghanistan bagi menumpaskan Taleban, kata akhbar itu.Seorang bekas ahli rejim Tripoli mengadu bahawa Washington telah terlepas satu peluang penting bagi menamatkan cengkaman kuasa Encik Gaddafi yang sudah empat dekad itu.'Kami meminta bantuan mereka ketika Encik Gaddafi di satu peringkat genting,' kata mantan Menteri Imigresen Libya, Encik Ali Errishi, yang meletak jawatan sejurus selepas pemberontakan itu bermula bersama beberapa lagi penyokong kuat Encik Gaddafi dan pegawai tentera.'Mereka berlengah-lengah, saya tidak tahu mengapa,' tambahnya.Pemberontak telah menguasai sebahagian besar timur Libya tetapi pasukan penyokong Encik Gaddafi yang lengkap bersenjata menyerang balas kumpulan-kumpulan kecil pemberontak yang kurang tersusun itu yang sering kali hanya dilengkapi senapang AK-47 sahaja. -- AFP.

No comments:

Post a Comment