Thursday, March 17, 2011

Berpuluh penerbangan ke Jepun dibatal



Penduduk bandar raya sendai berbaris panjang di terminal bas di hadapan stesen kereta api Sendai semalam bagi meninggalkan bandar raya itu yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami jumaat lalu. - AFP


FRANKFURT 16 Mac - Berpuluh-puluh penerbangan ke Jepun dibatalkan atau dilencongkan semalam dan penumpang udara mengelakkan perjalanan ke Tokyo kerana bimbang ancaman radiasi dari sebuah loji nuklear yang rosak teruk akibat gempa bumi pada Jumaat lalu.
Paling teruk terjejas ialah syarikat penerbangan Asia dan Eropah.
Deutsche Lufthansa berkata, ia melencongkan penerbangan dari Tokyo ke Osaka dan Nagoya, sekurang-kurangnya sehingga ke hujung minggu ini.
Katanya, pesawat yang pulang dari Tokyo kelmarin tidak dicemari radiasi.
Air China berkata, ia membatalkan penerbangan ke Tokyo dari Beijing dan Shanghai, terutamanya disebabkan kekurangan kapasiti operasi di beberapa lapangan terbang.
EVA Airways dari Taiwan mengumumkan akan membatalkan penerbangan ke Tokyo dan Sapporo sehingga akhir bulan ini.
Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) tidak melaporkan perubahan besar dalam jadual penerbangan mereka ke Jepun, tetapi pihak berkuasa penerbangan AS berkata, mereka bersedia mengambil tindakan termasuk melencongkan penerbangan jika krisis nuklear bertambah buruk.
Kerajaan lain termasuk Britain, Itali dan Belanda mengeluarkan amaran perjalanan dan penerbangan bagi mengelakkan persinggahan di ibu negara Jepun itu. - Reuters

No comments:

Post a Comment